Kapasiti majlis sosial ditingkatkan 50 peratus

KUCHING, 24 OGOS – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang bermesyuarat hari ini memutuskan kapasiti kehadiran bagi majlis sosial dan rasmi ditingkatkan kepada 50 peratus daripada jumlah pengunjung yang boleh ditampung oleh ruang majlis dan tidak lagi terhad kepada maksimum 250 orang.

Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sekiranya sesuatu majlis itu diadakan di lokasi yang mampu memuatkan seramai 1,000 orang, maka had maksimum yang dibenarkan adalah seramai 500 orang.

“Arahan ini berkuat kuasa pada 24 Ogos dan mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti menjaga penjarakan fizikal,” katanya pada sidang media COVID-19 di bangunan lama Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak memaklumkan terdapat 12 senarai kemudahan kesihatan swasta yang telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tujuan menjalankan ujian COVID-19 di negeri ini.

“Kemudahan kesihatan itu ialah Borneo Medical Centre, Kuching; Kuching Specialist Hospital; Normah Medical Specialist Centre, Kuching; Timberland Medical Centre, Kuching dan Klinik Kotaraya Samarahan.

“Selain itu, Rejang Medical Centre, Sibu; PMG Medical Centre, Sibu; Bintulu Medical Centre; Columbia Asia Hospital, Bintulu; Borneo Medical Centre, Miri; KPJ Miri Specialist Hospital dan Columbia Asia Hospital, Miri,” katanya. – Bernama