Kapasiti pelancong Machu Picchu dibenarkan 40 peratus

LIMA, 26 FEB – Tapak pelancongan paling popular di Peru, Machu Picchu akan dibuka semula dengan kapasiti 40 peratus setelah ditutup sepanjang Februari kerana perintah berkurung koronavirus, kata sumber kerajaan.

“Setiap hari, seramai 897 orang akan dapat mengunjungi Machu Picchu di bawah protokol kesihatan yang ketat,” kata sumber kementerian budaya kepada AFP semalam.

Ia telah ditutup selama hampir lapan bulan pada tahun 2020 kerana wabak itu sebelum dibuka semula pada bulan November, tetapi gelombang kedua virus memaksa ia ditutup semula. Pelancongan menjadi industri yang paling teruk terjejas di Peru oleh COVID-19.

“Kita perlu mengaktifkan semula dan melihat ke depan,” Jean Paul Benavente, gabenor wilayah Cusco di Machu Picchu, mengatakan kepada radio RPP.

Beliau mengatakan wilayah itu telah mengalami kerugian sekitar AS$1.4 bilion pada tahun 2020 kerana kurang pelancong.

“Terdapat koridor yang selamat untuk pelancong, kita harus mengaktifkan semula dengan kekuatan yang tinggi, tetapi secara bertahap dan bertanggungjawab.”

Wilayah Cusco telah mencatatkan hampir 14,400 kes koronavirus dan 493 kematian tahun ini dan kerajaan mengatakan jangkitan masih ‘sangat tinggi’.

Bandar Cusco, bekas ibu kota Inca, sebahagian besar bergantung pada ekonomi pelancongan. – AFP

Gambar fail pada 1 November 2020 menunjukkan seorang anggota polis dilihat bertugas di lokasi arkeologi Machu Picchu, di Cusco, Peru ketika dibuka semula di tengah wabak koronavirus. Tapak pelancongan paling popular di Peru, Machu Picchu akan dibuka semula pada 1 Mac 2021 dengan kapasiti 40 peratus. – AFP