Kapasiti penumpang AirAsia merosot 82 peratus

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Sijil Pengendali Udara (AOC) disatukan AirAsia Group Bhd (AirAsia) merekodkan faktor muatan sebanyak 67 peratus bagi suku ketiga berakhir 30 September, 2021, turun satu mata peratusan daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan mengenai statistik operasi awal bagi suku ketiga AirAsia yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata kapasiti tempat duduknya jatuh 82 peratus tahun ke tahun pada suku yang di bawah kajian.

“Jumlah penumpang yang dibawa merosot kepada 351,971 daripada 1.92 juta,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata semasa suku di bawah kajian, AirAsia Malaysia beroperasi pada kapasiti 10 peratus dan membawa sebanyak sembilan peratus penumpang berbanding suku ketiga tahun lepas, berikutan sekatan perjalanan yang ketat dilaksanakan bagi tempoh suku ketiga 2021.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, ia mengesahkan bahawa jumlah penumpang yang dibawa AirAsia Malaysia pada bulan September bertambah dua kali ganda berbanding Ogos, menghasilkan 13 mata peratusan peningkatan faktor beban didorong oleh pembukaan gelembung pelancongan Langkawi mulai 16 September lepas.

“Seterusnya, rentas negeri seluruh negara dan beberapa perjalanan antarabangsa yang terhad telah dibenarkan mulai 11 Okt yang mengakibatkan lonjakan tempahan daripada pengembara terutamanya bagi tujuan melawat rakan dan saudara-mara (VFR) dan pasaran pelancongan.” – Bernama