Kapasiti Pusat Kegiatan Warga Emas ditingkatkan 100 peratus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pelan de-escalation tahap keempat bagi Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) akan mula dilaksanakan pada 7 September ini dengan kapasiti penggunaan ditingkatkan daripada 80 peratus ke 100 peratus dalam satu masa tertakluk kepada ruang.

Pengumuman mengenai perkara berkenaan dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan statistik pengunjung ke muzium, galeri dan perpustakaan di bawah kawalan Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) iaitu seramai 12,208 orang sejak 16 Jun hingga 31 Ogos.

Dengan perubahan ini, para pengguna diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis pandu Kementerian Kesihatan khususnya dalam mengamalkan tanggungjawab sosial dan penjarakan fizikal, di samping memastikan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa untuk keselamatan semua pihak.

Kementerian Kesihatan tidak teragak-agak untuk mengenakan sebarang tingakan undang-undang jika mana-mana individu tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengekang sebarang jangkitan COVID-19 di negara ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah merujuk garis pandu terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dengan melayari laman web www.kkbs.gov.bn.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa sidang media mengenai pelan de-escalation tahap keempat bagi Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) yang ditingkatkan kepada 100 peratus.