Kapasiti Pusat Pengasingan Kebangsaan masih mencukupi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Dengan peningkatan kes aktif yang dicatatkan di negara ini sama ada melalui kes jangkitan tempatan atau kes import yang dilaporkan sehingga ke hari ini, jumlah kapasiti di Pusat Pengasingan Kebangsaan masih mencukupi

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan perkara itu semasa menjawab soalan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menambah bahawa bangunan tambahan baharu di Pusat Pengasingan Kebangsaan juga mempunyai sebanyak 164 buah katil ditambah lagi dengan ruangan dan katil yang terdapat di Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan yang sedia ada.

Dalam tempoh yang cukup singkat, tambah beliau, peningkatan kes terjadi di negara ini yang turut menimbulkan kerisauan.

“Adalah diharapkan agar kes penularan COVID-19 ini dapat dikawal secepat yang mungkin dalam tempoh dua minggu ini,” tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.