Kapasiti pusat vaksinasi ditingkatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Buat masa ini, Kementerian Kesihatan masih mempunyai kapasiti untuk menambah baik program vaksinasi yang ada dan masanya juga boleh dipanjangkan malah mereka sedang memikirkan untuk menambah lagi pusat vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata sedemikian mengenai vaksin pandu lalu yang dibangkitkan semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi

Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Walaupun keadah vaksinasi drive-thru sudah lakukan di negara lain, tapi kami rasa ia tidak selamat untuk melakukannya bagi negara kita. Akan tetapi, kami akan meningkatkan kapasiti dan menambah pusat vaksinasi,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa ia bukan semudah itu kerana jika dalam satu tempat itu, mereka boleh memaksimumkan tenaga kerja dan yang demikian tidak ada pembaziran vaksin.

“Kami mahu mengurangkan pembaziran vaksin ini juga,” tambah beliau.

Oleh itu, menurut beliau, mereka memerlukan sistem tempahan supaya orang yang ke sana tahu jam berapa dan mereka tidak akan menunggu begitu lama.

“(Kejadian) menunggu lama ini sebab ramai orang yang walk-in. Sebelum ini tidak ada yang mahu. Difahami, orang ramai berasa cemas, namun yang demikian, anda perlu tunggu. Biarkan kami melaksanakan tugas. Jika awda marah-marah ia akan membuatkan kerja kami tergendala. Berilah kerjasama dan tunggu giliran,” saran Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menyentuh mengenai pengesanan kontak bagi di mana terdapatnya sebilangan masyarakat yang tidak menggunakan aplikasi BruHealth dan hanya menggunakan catatan buku (logbook) sahaja, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa aplikasi BruHealth adalah bagus oleh kerana fungsi Bluetooth.

“Dari Bluetooth itu, kami dapat tahu siapa yang berada di sekeliling awda sekurang-kurangnya seminit. Ia tidak memberitahu di mana awda berada tapi siapa yang hampir dengan awda.

“Jadi, orang yang berhampiran dengan awda yang kami hubungi. Ada sebahagian mungkin sudah menerima mesej daripada BruHealth,” kongsi beliau yang kemudiannya menjelaskan bahawa itulah tujuan BruHealth tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut beliau lagi, sekiranya seseorang itu mengisi logbook di sesebuah tempat, dan terjadi penularan di sesebuah tempat itu, oleh yang demikian, buku tersebut akan diperiksa.

“Sebab itulah, kalau awda tidak memakai telefon (bimbit), anda menulis nama di sana dan nombor kontak. Di sana (buku) dirujuk untuk menghubungi awda,” jelasnya.