Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Berikutan pengumuman mengenai Fasa Endemik yang bermula pada hari ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mengongsikan beberapa maklumat terkini mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembukaan Sekolah Memandu dan Pengangkutan Awam.
Perkara tersebut telah dihuraikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam sidang media hari ini.
“Selaras dengan Garis Panduan Fasa Awal Endemik bagi Sekolah Memandu yang dikeluarkan melalui laman sesawang www.jpm.gov.bn, semua sekolah-sekolah memandu dibenarkan untuk beroperasi secara fizikal hingga kapasiti 50 peratus pada peringkat pertama dan 70 peratus pada peringkat kedua dengan SOP seperti yang telah ditetapkan,” jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib.
Sementara itu, ujian-ujian memandu juga akan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) mengikut SOP Fasa Endemik yang telah ditetapkan.
“Begitu juga dengan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan-perkhidmatan e-hailing serta pengangkutan perahu penambang, perahu penumpang dan kapal penumpang di mana jumlah penumpang ditingkatkan kepada 75 peratus daripada jumlah kapasiti penumpang sebelumnya iaitu 50 peratus (tidak termasuk pemandu) dengan memastikan adanya langkah-langkah penjarakan sosial,” tambah Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Menurut beliau lagi, ia bererti kapasiti tempat duduk kenderaan dan jumlah penumpang bagi teksi dan kenderaan e-Hailing seperti perkhidmatan DART adalah mengikut muatan tempat duduk kenderaan, seperti contoh muatan tempat duduk kenderaan ialah lima orang dan had penumpang adalah tiga orang serta seterusnya jika muatannya tujuh orang dan had penumpangnya adalah empat orang.