Kapasiti vaksinasi dipertingkat

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Kementerian Kesihatan kini sedang berusaha mengembangkan kapasiti Program Vaksinasi Kebangsaan dalam usaha memastikan liputan (coverage) dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini dapat dipertingkatkan dengan segera, demi melindungi kesejahteraan semua.

Ini kerana suntikan vaksin masih merupakan langkah paling berkesan bagi mencegah jangkitan COVID-19 walaupun penerima masih terdedah kepada jangkitan virus SARS-CoV-2, tetapi kebiasaannya jangkitan hanya menyebabkan kesan yang ringan sahaja.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan bahawa kapasiti beberapa perkhidmatan pusat suntikan akan diluaskan dan masanya dipanjangkan lagi, antaranya Pusat Suntikan di Learning Development Centre Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait akan ditambah waktu perkhidmatannya bermula Khamis, 12 Ogos iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu pada jam 8 pagi hingga 8 malam dan Ahad 8 pagi hingga 2 petang.

Sementara itu, Pusat Suntikan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong akan berpindah ke Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong bermula pada hari Sabtu, 14 Ogos 2021.

Beliau menasihatkan orang ramai yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 terutamanya mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk menempah slot suntikan dengan seberapa segera.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengalu-alukan orang ramai yang belum mendapatkan suntikan COVID-19 untuk membuat tempahan vaksinasi mereka dengan segera.

“Bagi ibu-ibu mengandung pula, pihak Kementerian Kesihatan juga sedang membuat persiapan untuk memulakan program suntikan bagi ibu-ibu mengandung dalam masa terdekat. Oleh yang demikian, mana-mana ibu mengandung yang belum membuat pendaftaran di klinik ibu mengandung adalah dinasihatkan untuk membuat pendaftaran dengan segera,” nasihat beliau.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengingatkan kepada sesiapa yang sedang menjalani kuarantin atau pengasingan diri dan mempunyai tempahan slot suntikan COVID-19 untuk tidak menghadirkan diri ke pusat-pusat suntikan.

“Tempahan suntikan tersebut hendaklah dibatalkan dan tempahan baharu dibuat melalui BruHealth.”