Kapten ‘bot itik’ hadapi 17 tuduhan

CHICAGO, 9 Nov – Badan kehakiman Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendakwa kapten bot yang karam di tasik Missouri semasa ribut musim panas melanda dan mengorbankan 17 orang.

Kapal yang dikenali sebagai ‘bot itik’ itu karam pada 19 Julai di Tasik Table Rock berhampiran bandar Branson. Kenderaan amfibia yang boleh dipandu di darat dan terapung di air, membawa 29 penumpang dan dua kru.

Badan kehakiman persekutuan mendakwa Kenneth Scott McKee dengan 17 pertuduhan salah laku, kecuaian atau tidak memberi perhatian sehingga menyebabkan kematian para penumpang. Tuduhan itu secara tidak formal dikenali sebagai ‘seaman’s manslaughter,’ menurut Peguam AS, Tim Garrison semasa sidang akhbar.

“Setiap tuduhan dalam dakwaan ini mewakili mangsa yang meninggal dunia apabila Stretch Duck Seven karam,” kata Garrison.

Pendakwaan itu mengatakan McKee gagal untuk menilai dengan betul mengenai keadaan cuaca yang bakal terjadi dan gagal membenarkan tabir tepi bot untuk diturunkan, yang menyebabkan para penumpang terperangkap di dalam.

“Selain itu, beliau juga gagal untuk mengarahkan para penumpang untuk memakai peranti pengapungan mereka semasa berlakunya cuaca buruk,” kata Garrison.

Berdasarkan rakaman video menunjukkan kapal itu tenggelam timbul dengan keadaan air yang deras dan akhirnya karam. Bot kedua berjaya ke persisiran.

Mangsa yang terselamat, Tia Coleman yang kehilangan sembilan ahli keluarga semasa kejadian itu berkata kapten memberitahu para penumpangnya bahawa mereka tidak perlu jaket keselamatan semasa bot itu sudah berada di atas air. – AFP

Sebuah ‘bot itik’ karam di Tasik Table Rock pada Julai lalu selepas ribut petir melanda tempat itu yang menyebabkan 17 orang terkorban. Jemaah juri persekutuan mendakwa kapten bot itu dengan 17 pertuduhan. – AP