Kapten bot terbakar ditahan

JAKARTA, 2 Jan – Polis Indonesia berkata hari ini yang mereka telah menahan kapten sebuah bot pelancongan yang terbakar semasa dalam perjalanan ke sebuah pulau percutian sehingga mengakibatkan 23 orang maut, di tengah-tengah laporan yang mengatakan dirinya orang terawal terjun dari kapal.

Zahro Express terbakar kelmarin sejurus selepas berlepas dari Jakarta dengan membawa kira-kira 250 orang yang sedang bercuti bagi meraikan Tahun Baru berhampiran Pulau Tidung.

Para penumpang yang panik berebut jaket keselamatan dan melompat ke dalam laut ketika kebakaran memusnahkan feri itu yang bermula di bilik enjin, dengan pihak berkuasa menyalahkan kerosakan elektrik menjadi punca kemalangan tersebut.

Ramai yang diselamatkan namun 23 orang terkorban dan 50 lagi mengalami kecederaan, dengan 19 dirawat di hospital hari ini, menurut agensi bencana, sementara itu menurut sumber agensi AP, 17 mangsa lain lagi masih sedang dicari.

Polis berkata kaptennya, dalam laporan tempatan dikatakan sebagai Muhammad Nali, telah ditahan pada Ahad dan disoal siasat berhubung kecuaian yang disyaki berkaitan dengan kebakaran yang menjadikan bot tersebut rentung.

Beberapa media tempatan lain melaporkan kapten itu adalah orang pertama sekali yang melompat terjun dari kapal, meninggalkan pelancong ketika kebakaran meletus, dan ditemui terapung di laut sebelum diselamatkan.

Tonny Budiono, seorang pegawai kanan di Kementerian Pengangkutan, berikrar untuk menghukum kapten tersebut jika pertuduhan itu betul.

“Jika kapten yang dulu terjun maka dia bukan kapten yang sebenarnya – kapten seharusnya menjadi orang yang terakhir terjun,” dia dipetik sebagai berkata dalam media tempatan.

“Jika perkara ini betul, kami akan membatalkan lesennya, dia tidak akan dibenarkan untuk belayar lagi.”

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono mengesahkan yang “kami masih lagi menyiasat kes itu dan menyoal kapten”, namun tidak memberi maklumat selanjutnya.

Manifesto bot tersebut mengatakan ia hanya membawa kira-kira 100 penumpang, kurang daripada separuh daripada jumlah sebenar, walaupun kementerian pengangkutan telah berkata ia tidak percaya kapal itu terlebih muatan.

Kementerian telah berkata litar pintas dalam bilik enjin mungkin telah mengakibatkan kebakaran. Budiono berkata bot itu dibina pada tahun 2013 dan layak berlayar dengan cuaca yang baik.

Kapal-kapal dari agensi-agensi kerajaan dan para penyelam terus menjalankan pencarian dalam air hari ini sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP/AP