DOHA, 30 Mei – Kapten Iceland Aron Gunnarson telah menjalani rawatan bagi kecederaan lutut di Qatar tatkala dia berjuang untuk cergas bagi kemunculan sulung skuad negaranya ke Piala Dunia bulan depan.
Hospital sukan Aspetar di Doha berkata menerusi satu kenyataan semalam bahawa pemain berusia 29 tahun itu sedang dirawat bagi kecederaan yang dialaminya sejak April dan telah menjalani pembedahan tatkala dia bersedia bagi kejohanan di Rusia.
“Kami akan menyertai Piala Dunia tahun ini dengan banyak kecederaan,” kata pemain tengah itu, yang beraksi di bahagian tengah bagi skuad Cardiff City, susulan kemaraan ke Liga Perdana Inggeris yang baharu saja berakhir.
“Namun kecederaan adalah sebahagian daripada bola sepak dan kami perlu menghadapinya,” katanya kepada Aspetar.
“Untuk beraksi, kita mesti konsisten dan tersusun dengan baik sebagaimana kami berada di Kejuaraan Euro dan berharap penyerang kami akan melakukan tugasan mereka dengan baik.”
Pada aksi pertama, Iceland akan berhadapan dengan Argentina pada 16 Jun di Kaliningrad. Mereka turut bakal berdepan dengan Croatia dan Nigeria dalam Kumpulan D, yang boleh dikatakan sebagai undian paling sukar dalam kejohanan itu.
Beberapa orang pemain daripada skuad Heimir Hallgrimson berdepan perlumbaan masa untuk cergas bagi Rusia termasuk bintang bola sepak Gylfi Sigurdsson, yang kembali daripada kecederaan lutut.
Meskipun begitu, cita-cita Iceland boleh berakhir sebagaimana yang berlaku semasa Euro 2016. Dengan jumlah populasi penduduk sekitar 335,000, negara itu adalah negara terkecil yang pernah layak bagi kejohanan bola sepak terbesar dunia.
Mereka turut layak bagi Kejuaraan Eropah pada 2016, di mana mereka telah menewakan England 2-1 dalam 16 terakhir dan seri bersama pemenang sebenar iaitu Portugal di peringkat kumpulan. – AFP