NEW DELHI, 4 Jun – Virat Kohli turut menyertai rayuan yang dibuat oleh kapten pasukan bola sepak India agar penyokong mengisi tempat duduk kosong stadium selepas hanya 2,569 orang hadir bagi menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi.
Kapten pasukan kriket, Sachin Tendulkar menyokong rayuan simpati Sunil Chhetri yang menjadi tular dalam media sosial selepas India membelasah Taiwan 5-0 di Stadium Mumbai yang hampir kosong minggu lepas.
Chhetri yang kecewa, telah menjaringkan hatrik dalam perlawanan dan kemudian membuat rakaman video pada Twitter menggesa orang ramai untuk hadir dan menyokong pasukan mereka.
“Kepada semua orang yang sudah hilang harapan terhadap pasukan bola sepak India, saya menyeru pada anda semua untuk datang dan menyaksikan kami beraksi di stadium-stadium,” kata Chhetri dalam mesej itu.
“Ia tidak seronok untuk mengkritik dan mengejek kami di Internet, datang ke stadium dan lakukannya di depan kami. Menjeritlah ke arah kami, ejek kami, siapa tahu suatu hari nanti kami mampu mengubah anda semua.”
India, yang berada di ranking 97 FIFA, akan beraksi menentang Kenya dalam kejohanan empat negara Piala Antara-Benua hari ini. New Zealand juga menyertai kejohanan itu.
Pasukan kebangsaan India jatuh ke kedudukan 166 ranking dunia pada 2015 namun berjaya memperbaiki kedudukannya di bawah kendalian jurulatih Inggeris, Stephen Constantine.
“Saya setuju, tahap permainan tidak sama, malah jauh namun dengan semangat dan azam, kami akan lakukan yang terbaik untuk menjadikan masa anda berbaloi,” kata Chhetri. – AFP