Kapten Thai didakwa menyeludup

BANGKOK, 13 JUN – Seorang kapten kapal Thailand didakwa menyeludup 65 orang Rohingya Muslim dari Myanmar, menurut polis hari ini, selepas kapal mereka rosak di pesisir laut selatan Thailand.

Kawasan sama merupakan hab kepada laluan penyeludupan berjuta dolar yang didedahkan dalam 2015 selepas penemuan kubur besar-besaran Rohingya dan penghijrah Bangladesh di sepanjang sempadan dengan Malaysia.

Polis mengatakan kapal itu membawa minoriti Rohingya yang tidak bernegara dan ditemui pada Selasa di perairan wilayah Satun, dikemudikan oleh kapten Sangkom Paphan, seorang warga Thai dari wilayah berhampiran, Ranong.

Polis mengatakan dia diupah untuk membawa masuk etnik Rohingya ke Malaysia dan didakwa ‘menyeludup pendatang haram’ menurut jeneral polis Suchart Theerasawat dari Pejabat Polis Kebangsaan.

“Dia dibayar 100,000 baht (kira-kira AS$3,200) oleh orang tengah warga Myanmar,” kata Suchart memberitahu AFP, menambah bahawa pihak berkuasa masih lagi menyoal siasatnya. – AFP