Kapten United mengaku tidak bersalah

ATHENS, 23 OGOS – Kapten Manchester United, Harry Maguire dibebaskan dari tahanan polis Greece semalam, rakaman TV menunjukkan, sebelum perbicaraannya atas tuduhan melakukan serangan di pulau Mykonos.

Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkaitan pertelingkahannya dengan anggota polis ketika bercuti di Mykonos.

Maguire dan dua lelaki lain ditahan Khamis lalu kerana insiden membabitkan pegawai polis di kepulauan Greece itu.

Satu kenyataan polis berkata individu berusia 27 tahun itu didakwa kerana melakukan serangan serius.

Peguam Maguire, Konstantinos Darivas, dipetik sebagai berkata oleh The Guardian bahawa anak guamnya itu menafikan dakwaan berkenaan.

Selepas pemain kebangsaan England itu tiba di mahkamah di Syros, pusat pentadbiran daerah, United mengeluarkan kenyataan terbaharu berhubung perkara itu.

“Mengenai kes di mahkamah hari ini, kami mendapati bahawa penangguhan kes itu adalah untuk membenarkan pasukan undang-undang mempertimbangkan fail kes berkenaan,” kata United dalam satu kenyataan.

“Harry mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan itu. Tidak wajar untuk kelab ini atau pemain berkenaan memberikan komen lanjut ketika proses undang-undang masih berjalan.” – AFP

Kapten Manchester United, Harry Maguire (kiri) meninggalkan mahkamah di pulau Greece Syros, semalam. Maguire dibebaskan dari tahanan polis selepas pemain bernilai £80 juta (88 juta euro) itu terbabit dalam pertengkaran antara dua kumpulan pelancong Britain di Mykonos. – AFP