Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karam: 10 maut, 30 dikhuatiri hilang

    KUALA LUMPUR, 23 Jan – Seramai 10 orang disahkan maut dan kira-kira 30 lagi hilang selepas sebuah bot yang dipercayai membawa penghijrah haram Indonesia karam di perairan Tanjung Rhu, Mersing, kata para pegawai hari ini.

    Mayat enam wanita dan empat lelaki telah dihanyutkan ke pesisir sebuah pantai berhampiran bandar pantai timur Mersing awal hari ini, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    “Kami percaya terdapat kira-kira 40 warga Indonesia di dalam bot berkenaan dan kami percaya mereka adalah penghijrah haram,” kata jurucakap agensi.

    Bot itu sedang menuju ke Malaysia dari Indonesia semasa ia tenggelam. Dua penumpang seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 28 dan 20 tahun, berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital namun keadaan mereka belum diketahui.

    Operasi pencarian masih lagi dijalankan ke atas mangsa yang hilang.

    Antara mayat warga asing yang ditemui terdampar di pantai dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Rhu pada 23 Januari. Bot malang itu dipercayai membawa 40 orang dari Batam, Indonesia untuk masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat. – Bernama
    Antara mayat warga asing yang ditemui terdampar di pantai dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Rhu pada 23 Januari. Bot malang itu dipercayai membawa 40 orang dari Batam, Indonesia untuk masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat. – Bernama

    Namun, Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota polis, APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menghentikan operasi berikutan hujan dan ombak kuat.

    Dalam pada itu, Timbalan Pengarah APMM Wilayah Maritim Selatan Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat daripada nelayan tempatan berhubung kejadian itu pada 9 pagi dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sekitar perairan itu.

    “Kejadian berkemungkinan berpunca daripada bot terlebih muatan dan keadaan cuaca yang buruk dengan keadaan laut yang bergelora,” katanya. – AFP/Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda