Kardinal HK pertahan protes Occupy

HONG KONG, 5 Dis – Seorang kardinal Hong Kong yang lantang bersuara, hari ini mempertahankan pejuang demokrasi yang sedang dibicarakan selepas rapat umum besar-besaran pada 2014 sambil memuji komitmen mereka terhadap protes secara aman.

Joseph Zen merupakan bekas Uskup Hong Kong yang terkenal dengan tentangannya terhadap penindasan politik di China dan menyokong pembaharuan demokratik secara terbuka.

Joseph yang tampil sebagai saksi berkata, dia percaya keingkaran awam adalah ‘pendekatan yang munasabah’ dan beliau merasa ‘malu’ kerana tidak dapat menahan semburan lada dan gas pemedih mata yang disasarkan kepada penunjuk perasaan.

Rapat umum yang berlangsung selama 79 hari dan menjadi tajuk utama antarabangsa itu bagaimanapun gagal memenangi pembaharuan politik di Hong Kong.

Profesor Sosiologi Chan Kin-man, 59, profesor undang-undang Benny Tai, 54, dan pelayan gereja Chu Yiu-ming, 74, sedang dibicarakan atas dakwaan mencetuskan gangguan awam dan peranan mereka dalam protes Pergerakan Payung.

Cardinal Joseph Zen (tengah) meninggalkan mahkamah selepas tampil sebagai saksi perbicaraan pejuang demokrasi di Hong Kong, kelmarin. – AFP

Mereka mengasaskan pergerakan ‘Occupy Central’ pada 2013 dilancarkan bagi menyeru penduduk Hong Kong untuk berhimpun jika orang awam tidak diberi peluang mengundi yang adil untuk memilih pemimpin yang dilantik oleh jawatankuasa pro-Beijing.

Kempen mereka disusuli pergerakan pelajar yang meletus pada tahun berikutnya di mana polis menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai yang menggunakan payung untuk melindungi diri.

Zen berkata, penggunaan gas oleh polis untuk menyuraikan rapat umum adalah ‘tidak bijak’ dan beliau bimbang ia akan menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Jadi, saya mengambil pembesar suara dan berkata ‘mari pulang, kita sudah menang, jangan tinggal di sini’ (kerajaan) tidak rasional, mereka menggunakan keganasan’ tetapi sudah tentu tidak ramai yang mendengarkan saya,” katanya.

Zen memberitahu mahkamah mengenai dedikasi tiga orang terhadap prinsip protes secara aman.

“Terdapat keingkaran awam kerana dalam masa yang lama ketidakadilan dalam masyarakat masih tidak dapat diperbaiki. Oleh itu saya fikir ingkar adalah pendekatan yang munasabah,” katanya.

Dia juga mengingat kembali bagaimana mereka membincangkan kebimbangannya bersama pemimpin Occupy bagaimana protes berkenaan akan berkembang.

“Ia kelihatan seperti pelajar yang mengetuai protes tetapi tidak dapat mengawal keadaan. Trio kelihatan tidak lagi mempunyai peluang untuk memberikan pendapat mereka,” katanya.

Pihak pendakwaan mendakwa bahawa protes besar-besaran menyebabkan ‘kecederaan biasa kepada orang awam’ akibat sekatan jalan di beberapa kawasan utama. – AFP