Karen Pierce dilantik duta UK ke AS

LONDON, 7 FEB – Britain melantik duta PBB sekarang sebagai bakal duta ke Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas diplomat tertinggi London sebelumnya di Washington meletak jawatan disebabkan komen mengenai Presiden Donald Trump.

Downing Street berkata Karen Pierce akan mengganti Kim Darroch, yang meletak jawatan berhubung kabel diplomatik yang dibocori di mana beliau mengkritik Trump sebagai ‘tidak cekap’ dan berkata Rumah Putih ‘gagal berfungsi.’

Pelantikan telah dinanti-nantikan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh peletakan jawatan Darroch pada Julai tahun lalu, dan tatkala Britain dan Amerika Syarikat bersedia untuk mengadakan rundingan berhubung perjanjian perdagangan selepas Brexit.

Pierce, diplomat kerjaya yang sebelum ini berkhidmat di Washington sebagai setiausaha peribadi kepada duta Britain di antara 1992 dan 1996, adalah wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.

Menteri luar Dominic Raab menggelarnya ‘seorang diplomat cemerlang’ dan berkata pelantikan diadakan pada masa ‘peluang besar’ untuk kedua-dua negara berkenaan.

Trump, yang mengecam Darroch, memanggilnya ‘lelaki bodoh’, dilaporkan merupakan peminat Pierce, pernah memanggilnya ‘menawan,’ menurut Daily Mail.

Namun beliau masih perlu mengendali beberapa siri perbalahan yang telah menjejas ‘hubungan istimewa’ baru-baru ini. Isu utama adalah keputusan Britain yang membenarkan firma China Huawei akses terhad untuk mengendali rangkaian 5G baharu Britain, bertentangan dengan hasrat Trump yang ingin ia diharam sepenuhnya.

Pierce, 60, berkata beliau ‘berasa bangga kerana diminta mewakili UK di AS’ dan tidak mengheboh perbalahan terbaharu itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berjanji akan ‘memperkukuh hubungan istimewa di antara kedua-dua negara dan rakyat.’ – AFP