Karier seni Bront semakin menyerlah

Karier seni Bront Palarae, 43, semakin menyerlah merentasi sempadan. Bukan sahaja popular di Malaysia, aktor ini mula mengumpul peminat di Indonesia. Semuanya gara-gara impak filem Pengabdi Setan, yang ditayangkan hampir tiga tahun lalu.

Sejak itu, semakin banyak tawaran lakonan dari negara jiran itu diterima seperti Ayat-Ayat Cinta 2, Gundala dan Love Is A Bird. Mencipta reputasi sendiri dalam penghasilan produk bermutu, tidak hairanlah, Bront dilantik sebagai duta Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) buat kali kedua.

Festival yang dikendalikan dalam talian ini, bermula 15 Januari sehingga 21 Januari depan. Tidak cukup itu, Bront bolos dalam dua kategori pada Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-25 yang bakal berlangsung, tidak lama lagi.

Tercalon buat kali kedua dalam liga ATA, Bront disenaraikan dalam dua kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Digital) menerusi lakonannya dalam siri The Bridge 2.

Bertatih dari bawah, Bront menganggap diri bertuah apabila mencipta satu persatu kejayaan hingga dilantik menjadi duta MIFFest buat kali kedua.

Karier seni Bront Palarae semakin menyerlah, bukan sahaja popular di Malaysia malah mula mengumpul peminat di Indonesia. – Agensi

“Saya bangga dan teruja. Namun, apa yang lebih penting, adalah solidariti untuk kita sama-sama menjayakan edisi kali ini ketika seluruh dunia masih diselubungi pandemik COVID-19.

“Pastinya, saya akan berusaha mempromosikan acara ini kepada komuniti filem serantau dan antarabangsa. Ini termasuk karyawan sama ada secara individu atau menerusi filem mereka,” katanya kepada media.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonan, Bront yang menjadi buruan sutradara Indonesia selepas muncul dalam filem seram arahan Joko Anwar, mengaku aktiviti seni agak terjejas akibat COVID-19.

Namun, Bront sempat menyelesaikan sebuah projek yang dirahsiakan, Oktober lalu. Biarpun berdepan dugaan, Bront melihat cabaran yang sedang dilalui dari sudut positif.

“Alhamdulillah, biarpun kerjaya sedikit sebanyak terjejas akibat COVID-19, apatah lagi sukar untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, namun, keadaan masih normal.

“Selesai sahaja komitmen Oktober lalu, saya pulang ke Malaysia dan menjalani kuarantin selama dua minggu,” katanya.

Mengaku terkesan impak penularan COVID-19, Bront lebih suka melihat cabaran dihadapi untuk berfikir di luar kotak. “Saya lihat ini peluang untuk kita melihat di luar kotak atau di luar acuan biasa kita. Lebih-lebih lagi, apabila pawagam pula terpaksa ditutup bagi mengelak penyakit menular. Situasi ini bukan sahaja di negara kita, malah, seluruh dunia,” katanya.

Namun, Bront berkata, manusia masih memerlukan hiburan biarpun berdepan situasi sekarang.

“Mungkin medium berbeza. Saya lega kerana kita ada pilihan melalui pelbagai medium lain untuk bercerita. Kita ada kira-kira 17 pilihan platform Over The Top (OTT). Jika hasıl kerja berkualiti, masih banyak peluang wujud untuk kita,” katanya.

Kehebatan lakonan aktor berasal dari Kedah ini tidak perlu disangkal lagi. Jika tidak, masakan namanya dicalonkan untuk kali kedua pada ATA 25.

Tidak meletakkan harapan tinggi, Bront menyerahkan keputusan itu kepada juri dan penganjur.

“Ini kali kedua saya dicalonkan dalam ATA. Sebelum ini, saya dicalonkan untuk filem Eropah, Here I Come arahan Bernard Chauly.

“Saya tidak meletakkan harapan besar. Jika ada rezeki, Alhamdulillah. Saya tidak congak masa depan mengikut urusan pihak lain,” katanya.

Bront juga mahu memberi tumpuan kepada komitmen lain seperti bersama Pixel Play Entertainment atau projek kolaborasi bersama produksi milik teman-teman.

“Kami mahu fokus kepada apa yang ingin dilakukan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang,” katanya. Ditanya adakah pencalonan dalam festival filem antarabangsa dianggap langkah menempa nama ke pasaran lebih besar seperti kemunculannya dalam filem Gundala yang menembusi pasaran Asia Barat, Bront berkata:

“Falsafah pembabitan saya selama ini memang lebih terarah kepada pasaran luar. Tinjauan dibuat sejak 2013. Sekarang, fokus saya adalah untuk memenuhi potensi yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Berkongi satu lagi kejayaan, Bront bakal muncul dalam filem arahan Michael Haussman berjudul Rajah.

Haussman sebelum ini pernah terbabit di dalam pembikinan muzik video penyanyi terkemuka antarabangsa seperti Madonna dan Justin Timberlake. – Agensi