LONDON, 28 Mei – Polis menjalankan siasatan apabila penjaga gol Liverpool, Loris Karius dijadikan sasaran ancaman bunuh dan ugutan di media sosial, selepas dipersalahkan ketika pasukannya tumbang kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara. Karius bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dua gol yang diraih Real ketika menang 3-1 ke atas Liverpool di Kiev, awal pagi Ahad lalu.
Pemain Jerman berusia 24 tahun itu membaling bola dan dihalang penyerang Real, Karim Benzema sebelum bola melantun masuk ke gawang untuk gol pertama.
Dia juga membenarkan jaringan oleh Gareth Bale apabila gagal menangkas kemas percubaan jarak jauh sekali gus membolehkan Real meraih gol ketiga pada minit terakhir permainan.
Karius mengalirkan air mata ketika wisel penamat dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kecewa dan kesal ke atas pemain yang ditandangani dari Mainz pada 2016 itu.
Tiada pemain Liverpool yang dilihat cuba mententeramkan Karius, yang dirakam menutup muka ketika pasukannya tiba di Lapangan Terbang John Lennon.

Karius sudah memohon maaf di atas kesilapannya selepas perlawanan, tetapi ia gagal menghalang peminat Liverpool meluahkan kemarahan dan memberi ancaman termasuk kepada keluarganya.
Ada beberapa kenyataan yang disiarkan berharap Karius akan mati kerana barah, manakala ada yang menulis: ‘Saya harap seluruh keluarga kamu mati’ dan ada seorang yang memuat naik ‘Saya akan bunuh teman wanita kamu’.
Jurucakap Polis Merseyside memaklumkan kepada Daily Telegraph, mereka akan menjalankan siasatan ke atas gangguan berkenaan.
“Kami beranggapan semua kenyataan di media sosial yang bersifat mengancam itu sebagai sesuatu yang serius. Setiap kesalahan yang dikenal pasti akan disiasat,” katanya.
“Polis Merseyside mengingatkan pengguna media sosial bahawa apa saja kesalahan termasuk komunikasi berniat jahat akan dihukum.”
Melalui laman sosial twitter peribadi, Karius sekali lagi memohon maaf ke atas persembahan yang mencetuskan mimpi ngeri buat peminat. – AFP