Karnival AYE ke-6 secara maya 18-21 November depan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Negara Brunei Darussalam merupakan negara ASEAN pertama yang akan menghoskan Karnival Usahawan Muda ASEAN (AYE) ke-6 selama empat hari secara maya pada 18 hingga 21 November depan.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Majlis Usahawan Muda ASEAN (AYEC) 2021 dan Presiden Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB), Dayang Nurliyana Fatin binti Ariffin selaku penganjur karnival berkenaan pada sidang media secara maya yang berlangsung hari ini.

Karnival dengan tema Reimagining Business in the New Paradigm itu dihoskan oleh YEAB dan AYEC dengan kerjasama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), imagine Sdn Bhd dan Bank Baiduri.

Dayang Nurliyana Fatin menjelaskan, hari pertama karnival akan diisi dengan mesyuarat AYEC diikuti dengan Forum Dialog Dasar ABAC-AYEC yang bertujuan untuk memperkasa dan membolehkan usahawan muda di seluruh ASEAN menyumbang semula untuk membawa rantau ini ke tahap yang lebih tinggi melalui perbincangan kolektif mengenai kunci pemulihan.

Pada hari kedua pula, tiga menteri dijangka akan menyampaikan ucaptama yang mana masing-masing akan menyentuh mengenai berkembang dalam paradigma baharu, pendigitalan dan daya tahan.

Sidang media secara maya mengenai Karnival Usahawan Muda ASEAN (AYE) ke-6, kelmarin.

Selain itu, acara berkenaan akan disertai oleh 25 penceramah dari seluruh Asia Tenggara di samping menyaksikan majlis penyerahan kepada Kemboja sebagai negara penganjur seterusnya.

“Karnival AYE merupakan perhimpunan usahawan muda terdiri daripada ahli persatuan AYEC dan rakan-rakan dialog yang dianjurkan setiap tahun sejak 2016 di Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Bangkok dan Hanoi,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzanna Suharju antara lain menyatakan, imagine percaya bahawa kita akan pulih dan akan lebih kuat jika kita melakukannya bersama-sama.

“Kami berharap usahawan muda akan mengambil peluang ini untuk menjalinkan jaringan dengan belia lain dalam ASEAN,” tambahnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Perniagaan) Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha pula antara lain menegaskan, melalui acara berkenaan, usahawan muda akan mendapat kepelbagaian dalam apa yang ada di luar sana dengan trend semasa dan cabaran baharu.

“Acara ini juga akan memberi kaedah yang boleh digunakan untuk menyesuaikan diri mereka dalam membina inspirasi perniagaan,” tambahnya.

Antara lain tujuan karnival ini adalah untuk perniagaan dan usahawan muda menangani cabaran dibawa oleh COVID-19 melalui pendigitalan, kepimpinan dan kerjasama termasuk penglibatan inklusif wanita dalam menangani cabaran besar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini.