Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Karnival Cinta Rasul anjuran Syarikat Battle Pro Marketing and Management Services akan membuka tirainya esok (26 Januari) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di mana ia akan berlangsung sehingga 29 Januari 2017.
Beberapa aktiviti teras berbentuk keagamaan yang diadakan semasa karnival berkenaan adalah Ceramah Khas Maulidur Rasul, Peraduan Dikir dan Menghafaz, Jualan Keusahawanan Belia, Ekspo Fesyen Islami dan lain-lain.
Dianjurkan bersempena memperingati Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, karnival tersebut bertujuan untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada Rasulullah dan Yang Maha Pencipta.
Ia juga merupakan salah satu inisiatif pihak Syarikat Battle Pro Marketing untuk menunjukkan kesetiaan dan menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu pihak kerajaan untuk memberikan para belia kemahiran dari segi praktikal untuk berada di platform yang betul serta selaras dengan hasrat negara bagi mendukung titah Baginda Sultan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Selain itu, karnival juga diadakan untuk menyokong lebih 50 usahawan tempatan dan luar negara yang akan ikut serta dalam mempromosikan lagi produk dan barangan yang dijual oleh para usahawan yang kebanyakannya terdiri daripada belia-belia.
Bagi memeriahkan lagi suasana karnival itu, beberapa aktiviti menarik juga akan diadakan untuk pengunjung, antaranya Kempen Derma Darah, Peraduan Tulisan Jawi yang dibukakan kepada kanak-kanak berumur sembilan tahun ke bawah, menunggang kuda, Bengkel Khat Asas, Hijahiyyah: Bina Perkataan, teka surah dan banyak lagi.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi karnival berkenaan yang akan dibukakan dari pukul 11 Pagi hingga 10 malam.