Karnival jalanan pamer Gaza yang indah dan damai

GAZA – Kebanyakan imej yang dipaparkan dan dipamerkan di platform media dunia memaparkan wajah Gaza yang kelihatan suram, sedih dan juga dibelenggu keganasan. Walau bagaimanapun, dunia dikejutkan dengan satu karnival jalanan yang telah diadakan di bandar Gaza di mana karnival ini telah mengumpulkan sekitar 120 ahli silap mata, artis seni dan pemuzik dari kawasan pantai yang dikepung.

Karnival Jalanan Gaza itu bermula baru-baru ini di mana para peserta karnival dan penduduk berkumpul serta berbaris di jalan-jalan utama. Karnival ini diserikan lagi bersama dengan aktiviti-aktiviti yang lain seperti, Muzium Jalanan, pameran muzium yang memaparkan 24 potret yang dihasilkan oleh pelukis dan artis seni terkenal di benua Eropah.

Sebuah kumpulan muzik tempatan Gaza dan kumpulan tarian tradisional Palestin turut menyertai dan memeriahkan lagi karnival itu. Beberapa pertunjukan sarkas diadakan sebelum dipersembahkan kepada orang ramai, di mana peserta persembahan mengenakan pakaian berwarna-warni dan bermain bersama kanak-kanak.

“Ia merupakan kali pertama karnival ini diadakan dan saya gembira ia diadakan di sini kerana sebelum ini, saya hanya berpeluang untuk menyaksikan karnival tersebut di televisyen,” kata Haytham Ramadan, berusia 17 tahun dari Gaza kepada media Xinhua.

Kerjasama dari pelbagai agensi

Menurut penganjur karnival itu yang lebih dikenali sebagai ‘Belia Tanpa Sempadan’ di bandar raya Gaza berkata bahawa karnival dan pameran itu diadakan atas kerjasama dengan Persatuan Visi Palestin. Keseluruhan projek dibiayai oleh Kesatuan Eropah. Penyelaras karnival, Mohamed Abu Rjeila memberitahu media Xinhua bahawa karnival ini juga bertujuan untuk mengintegrasikan budaya Palestin dengan negara-negara di bawah kesatuan Eropah.

Karnival tersebut dipenuhi dengan beratus-ratus lelaki dan juga perempuan serta anak-anak mereka di mana kebanyakan mereka mengutarakan rasa gembira kerana berpeluang untuk menyaksikan sendiri karnival berkenaan dan menyanyi serta menari bersama-sama dengan para pembuat persembahan.

“Saya sangat gembira kerana dapat menghadiri karnival pertama ini untuk membawa kegembiraan, keyakinan dan kebahagiaan kepada saya,” tambah remaja itu. Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk memberitahu dunia bahawa Gaza tidak hanya memiliki wajah yang suram, gelap, kesedihan dan keganasan namun ia juga mempunyai wajah-wajah yang cantik,” kata Abu Rjeila.

“Kebanyakan penduduk Gaza menanamkan hasrat dan cita-cita untuk hidup dalam keadaan damai, bebas dan juga mendapat kemerdekaan sebagaimana negara-negara lain di dunia ini,” tambah Abu Rjeila.

Sekatan dan halangan

Gaza berada di bawah sekatan yang kuat dari pihak Yahudi semenjak Hamas berjaya menakluki wilayah itu selepas mengumumkan kesetiaan mereka kepada Presiden Abbas pada tahun 2007. Pengepungan itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi kehidupan harian penduduk Gaza dan menyebabkan kesihatan penduduk Gaza semakin merosot.

Semenjak 30 Mac yang lalu, Palestin telah menganjurkan perarakan anti-Yahudi baru-baru ini khususnya di kawasan timur dan utara Gaza. Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, tentera Yahudi telah menembak mati sekurang-kurangnya 223 rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 24,000 orang penduduk yang lain.

Penganjur karnival tersebut berkata bahawa matlamat karnival ini adalah untuk membawa kanak-kanak keluar daripada mimpi buruk mereka. “Ia bukan sahaja karnival dan pameran jalanan malah ia berperanan sebagai festival yang mencerminkan wajah sebenar di Semenanjung Gaza,” kata Abu Rjeila.

“Karnival ini akan diserikan dengan pelbagai aktiviti sekali gus menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa Gaza bukan sahaja kawasan peperangan yang penuh dengan khemah dan puing-puing. Sebelum ini, Gaza dipenuhi dengan kegembiraan, penciptaan kraf tangan dan juga reka bentuk seni yang menakjubkan,” tambah Abu Rjeila. – Xinhua

Karnival Jalanan Gaza itu bermula baru-baru ini di mana para peserta karnival dan penduduk berkumpul serta berbaris di jalan-jalan utama. – Agensi
Menurut penganjur karnival itu yang lebih dikenali sebagai ‘Belia Tanpa Sempadan’ di bandar raya Gaza berkata bahawa karnival dan pameran itu diadakan atas kerjasama dengan Persatuan Visi Palestin. – Agensi
Penganjur karnival tersebut berkata bahawa matlamat karnival ini adalah untuk membawa kanak-kanak keluar daripada mimpi buruk mereka. – Agensi