Karnival Jerudong Park meriah

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Karnival Jerudong Park Mega Fun Family yang ketika ini sedang berlangsung di Taman Permainan Jerudong mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang menyertai pelbagai aktiviti menarik.

Acara selama enam hari sempena Festival Disember Brunei anjuran Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC) dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti permainan bagi semua lapisan masyarakat yang turut memberikan ganjaran hadiah segera antaranya barangan elektronik, telefon bimbit dan tablet, serta tiket penerbangan percuma.

Ia disertai lebih 20 orang pengusaha tempatan yang turut menyerikan suasana karnival dengan menjual pelbagai makanan dan minuman serta barangan yang menarik. Antara vendor yang menyertai karnival tersebut ialah Jaddams.bn, Freezy Slushies, Drinkalicious, Perusahaan Selera Putu, Unicorn Bubble, Sheila Shoppee dan banyak lagi.

Dengan adanya karnival sebegini, ia dihasratkan dapat menggalakkan orang ramai untuk meluangkan masa sepanjang cuti hujung tahun penggal persekolahan di negara sendiri dan pada masa yang sama menyokong pengusaha-pengusaha tempatan yang menyertai acara tersebut.

Dalam pada itu, beberapa persembahan telah disusun sepanjang berlangsungnya karnival berkenaan antaranya adalah Movie Night, persembahan-persembahan hebat daripada kumpulan pemuzik tanah air seperti A Band Once, Kosmik dan Roket Kertas serta kehebatan persembahan ahli-ahli silap mata tempatan.

Orang ramai begitu teruja mengikuti aktiviti-aktiviti menarik semasa berlangsungnya karnival berkenaan.