Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival Kampung Bukit Sawat meriah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 3 Ogos – Bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-72 tahun, beberapa acara telah diatur oleh pelbagai pihak di negara ini bagi sama-sama memeriahkan lagi sambutan berkenaan.

    Sehubungan itu, Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking serta Jabatan Daerah Belait tidak ketinggalan bagi memeriahkan sambutan berkenaan dengan mengadakan Karnival Bukit Sawat 2018 selama empat hari bermula kelmarin di kawasan berdekatan Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau Labi.

    Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah semasa ditemui hari ini, menjelaskan bahawa acara yang diadakan hari ini adalah aktiviti bercorak sukan, di mana ia telah dibukakan kepada orang ramai terutama sekali kepada para belia.

    Antara acara sukan yang diketengahkan termasuk perlawanan futsal yang diadakan di Kampung Sungai Mau, Perlawanan sepak takraw di kawasan letak kereta depan Dewan Serba Guna Kampung Sungai Mau, perlawanan dart yang diadakan di Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau dan perlawanan tarik kalat di kawasan lapang gerai Tamu Kampung Sungai Mau. Kesemua acara tersebut telahpun bermula sejak jam 7 pagi lagi hingga 5 petang.

    Beliau juga memberitahu, acara karnival yang bermula kelmarin dengan aktiviti keagamaan itu akan diteruskan lagi esok(Sabtu) dengan Pesta Mukun bertempat di Pentas Taman Rekreasi Sungai Mau bermula jam 8 hingga 11:30 malam.

    Gerai-gerai jualan dan pameran barang-barang antik semasa Karnival Bukit Sawat Labi.
    Perlawanan futsal melibatkan belia mendapat sambutan menggalakkan.

    “Pesta Mukun telah dikendalikan bersama oleh Majlis Perundingan Mukim Bukit Sawat dan Majlis Perundingan Mukim Labi dengan kerjasama Kumpulan Mukun Selendang Sutera Brunei. Antara artis tempatan dan luar negara yang dijangka memeriahkan pesta itu ialah Awang Mohd Adi Azizul Salleh, Hajah Siti Badariah Haji Othman, Awang Mustaffa Musa daripada Mukah Sarawak, Dayang Nabila binti Jamil daripada Bintulu Sarawak, Dayang Mastura dari Miri, Sarawak serta barisan pemukun cilik termasuk Awang Mohd Shahmi Idris, Awang Abdul Qayyum, Awang Abdul Quddus dan Awang Abdul Qawi,” tambahnya.

    Jelasnya lagi, acara itu turut diceriakan lagi dengan undangan pelawak tanah air iaitu Hajah Kasumawati atau lebih dikenali sebagai Dang Kasum bersama pengacara yang tidak asing lagi Awang Irwan Rino Nordin dengan diiringi pemuzik Selendang Sutera.

    Sejumlah 35 petak gerai jualan juga akan disediakan bagi memberikan peluang kalangan penduduk kampung berkenaan dan daerah ini untuk mempromosikan produk-produk jualan mereka.

    Acara penutup karnival tersebut dijangka akan diadakan pada 19 Ogos nanti bertempat di tebing Sungai Belait,Kampung Sungai Mau, Bukit Sawat, Labi dengan menampilkan beberapa acara perlumbaan seperti Perlumbaan Perahu Temuai 15 Kuasa Kuda, Perlumbaan Berkayuh Perahu Temuai 10 Kuasa Kuda, Perlumbaan Berkayuh Perahu Temuai Dua Orang Pekayuh dan sebagainya.

    Beliau juga turut memberitahu aktiviti seperti itu akan dijangka diteruskan sebagai kegiatan tahunan di kampung berkenaan bagi sama-sama menceriakan suasana kampung terutam sekali di musim-musim perayaan yang lazimnya hanya diadakan berpusat di kawasan pekan dan bandar. Beliau dalam pada itu berharap orang ramai akan dapat datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan acara tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda