BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Battle Pro Marketing & Management Services (Battle Pro MMS) akan mengadakan Karnival Kembara Islam pada 28 hingga 30 April ini di Tingkat 4, Hua Ho Manggis Ballroom.
Karnival yang telah diadakan sejak 2014 itu bertujuan untuk memeriahkan hari-hari kebesaran Islam sempena memperingati Sambutan Israk dan Mikraj sekali gus menanai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Karnival juga bertujuan memberi manfaat percuma kepada anak-anak tempat dengan menyertai program bermanfaat secara percuma seperti reading along iaitu ruang membaca untuk kanak-kanak sepanjang karnival berlangsung.
Menurut kenyataan di sini, karnival itu nanti akan memuatkan beberapa aktiviti termasuk Peraduan Surah Al-Fatihah, Peraduan Azan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan Pertandingan Lagu Dakwah bagi belia berusia 15 hingga 35 tahun.
Selain itu, karnival turut akan mengadakan Malam Cinta Rasul yang akan memuatkan beberapa ceramah dan persembahan berbentuk keagamaan dari dalam dan luar negara bagi menarik golongan muda dan keluarga yang diketuai oleh penceramah tempatan yang tidak asing lagi Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.
Antara yang bakal memeriahkan acara tersebut ialah kumpulan nasyid Far East di Gema Karnival Kembara Islam pada malam kedua karnival dan penampilan peserta Pencetus Ummah Yeop yang akan memberikan ceramah khas pada hari terakhir karnival.
Di samping itu karnival juga akan menampilkan usahawan-usahawan muda tempatan untuk menjual produk dan jenama masing-masing yang sekali gus boleh meningkatkan lagi sosioekonomi negara.
Turut mengisi acara ialah cabutan bertuah ‘ASEAN Dream Holiday Lucky Draw yang menawarkan dua pakej percutian percuma bagi pemenang yang membuat pembelian di bawah kempen AkuManang.com.
Karnival berkenaan akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam kecuali hari Jumaat akan direhatkan bermula jam 11:45 pagi hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada sembahyang Fardu Jumaat.