Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Karnival Mini Perikanan berlangsung di Kompleks Pendaratan Ikan Muara terus mendapat sambutan daripada orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan-ikan segar pada hari kedua ia diadakan, hari ini.
Karnival Mini Perikanan yang pertama diadakan pada tahun ini bermula kelmarin hingga 23 September itu dianjurkan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan usahasama pengusaha-pengusaha perikanan.
Sembilan pengusaha tempatan dalam bidang industri penangkapan ikan, dua pengusaha tempatan dalam bidang industri akuakultur dan 12 pengusaha tempatan dalam bidang industri pemprosesan makanan laut menyertai karnival kali ini.
Jualan yang dibuka untuk kunjungan orang ramai dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu juga mengetengahkan produk perikanan daripada pelbagai hasil tangkapan segar seperti ikan, udang, ketam dan sotong.
Aktiviti ini merupakan salah satu usaha Jabatan Perikanan untuk menggalakkan penglibatan pengusaha-pengusaha perikanan tempatan dalam membantu mengetengahkan dan memasarkan pelbagai hasil produk mereka kepada orang ramai.
Dengan penerimaan daripada pasar tempatan yang berterusan, pengusaha tidak akan ragu-ragu meningkatkan keupayaan mereka dalam penghasilan dan pasaran untuk tempatan dan juga luar negara bagi sama-sama menyumbang kepada pertumbuhan keluaran bagi mendokong hasrat KSSUP untuk melipat gandakan keluaran sektor perikanan menjelang tahun 2020.
Selain itu juga, dari aspek kesihatan, aktiviti ini memberi peluang dan kesempatan untuk mempromosi Kempen Makan Ikan sebagai sumber makanan yang menyihatkan terutama kepada generasi baru.
Seperti penjualan hasil-hasil produk perikanan pada tahun-tahun yang lepas, orang ramai boleh mendapatkan ikan-ikan segar seperti ikan, udang, ketam dan sotong pada harga yang berpatutan.
Sementara itu, pengusaha akuakultur turut menjual ternakan ikan laut yang bermutu tinggi seperti ikan selungsong, ikan pompano, ikan kerapu dan ikan bebarahan. Para pengusaha dalam sektor pemprosesan makanan laut pula menjual produk-produk daripada hasil perikanan seperti keropok, belacan, ikan salai dan ikan kering.