Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Karnival perkasa budaya membaca

    Oleh Nurdiyanah R.

    TEMBURONG, 25 SEPT – Sebagai usaha menyemai minat membaca dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei telah meneruskan usaha proaktifnya dengan menganjurkan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2022 Daerah Temburong yang berlangsung selama dua hari di Perpustakaan DBP di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’, bermula kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan karnival berkonsepkan belajar sambil berhibur (EduTainment) itu ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Menurut Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang juga pengerusi karnival dalam ucapannya, menyatakan pelaksanaan karnival berkenaan merupakan satu lagi usaha besar DBP untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, bermaklumat, berdisiplin dan berwawasan dengan membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini sekali gus berperanan penting dalam memperkasakan Bahasa Melayu.

    “Apa yang pasti, penglibatan masyarakat pelbagai peringkat umur adalah sangat diharapkan bukan sahaja untuk karnival ini tetapi juga dalam memanfaatkan sepenuhnya segala platform, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan-perpustakaan DBP sebagai pusat komuniti.

    “Di samping itu, ia juga bagi memupuk kesedaran awam khususnya golongan belia dan remaja dalam sama-sama menitikberatkan disiplin sepanjang berada di perpustakaan,” ujarnya.

    Sepanjang karnival, acara telah diisikan dengan pertunjukan permainan e-Sukan PUBGM yang disampaikan oleh Gjam Entertainment, terdiri daripada pasukan TRE X ATS dan Autotoosoon BN yang pernah mewakili negara ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam.

    Dalam pada itu, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan e-Sukan. Turut menyemarakkan karnival adalah pelbagai permainan tradisi Brunei seperti permainan kikik, dan gasing, di samping riadah menunggang kuda, Kuiz Interaktif Kahoot, demonstrasi membuat kelupis dan pameran buku-buku sukan yang terdapat di perpustakaan.

    Pengiran Mohd Amirrizal menyaksikan aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2022 Daerah Temburong di Perpustakaan DBP, kelmarin. – Gambar serahan DBP Brunei

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...