Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Dengan hasrat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara ibu bapa, murid-murid, warga sekolah dan penduduk di sekitarnya, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching, Kluster 4 mengadakan Karnival dan Mini Konvensyen PIBG 2018 yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian karnival dan konvensyen berkenaan ialah Pemangku Ketua Kluster 4, Dayang Mazleyati binti Haji Ramlee.
Acara turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.
Semasa karnival yang diadakan bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang itu, pelbagai jualan diadakan termasuk makanan dan barangan keperluan.
Karnival itu juga dimeriahkan dengan kegiatan sukan dan permainan yang dibukakan penyertaannya kepada ibu bapa dan murid-murid yang hadir semasa acara tersebut.

