Thursday, February 9, 2023
26.1 C
Brunei

-

Kartel kuasai bandar Mexico

LOS ANGELES, 6 JAN – Lelaki bersenjata bertindak membakar kenderaan, menyerbu sebuah lapangan terbang dan menjadikan beberapa orang sebagai tebusan, di utara Mexico kelmarin, selepas tentera menahan Ovidio Guzman, seorang daripada pemimpin kartel paling dikehendaki di dunia yang juga anak kepada raja dadah terkenal Joaquin ‘El Chapo’ Guzman.

Ketua dadah itu ditahan dalam satu pertempuran di bandar Culiacan, kubu kuat kartel Sinaloa Guzman dan kemudian diterbangkan ke Mexico City, menurut Setiausaha Pertahanan Mexico Luis Cresencio Sandoval Gonzalez, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Susulan itu, pihak berkuasa terpaksa membatalkan perkhidmatan penerbangan, menutup sekolah dan mengarahkan penduduk untuk berlindung.

Sandoval berkata keganasan terburuk tertumpu di Culiacan apabila anggota kartel menyekat semua enam pintu masuk ke bandar, membakar kenderaan dan menyerbu lapangan terbang di bandar itu serta pangkalan tentera udara yang terletak berhampiran.

Insiden itu seakan sama dengan kejadian pengepungan berdarah di Culiacan pada tahun 2019 ketika tentera menahan Ovidio Guzman.

Sebuah kereta terbakar di jalan semasa operasi menangkap anak lelaki Joaquin “El Chapo” Guzman, Ovidio Guzman, di Culiacan, negeri Sinaloa, Mexico. – AP

Ketika itu ratusan anggota sindiket di Sinaloa menawan bandar itu, menjadikan orang ramai sebagai tebusan, menyekat jalan raya dan mengepung rumah keluarga anggota tentera, menyaksikan lapan orang terbunuh.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador akhirnya mengarahkan pembebasan Guzman untuk mengelak lebih banyak pertumpahan darah.

Penangkapan semula Guzman berlaku beberapa hari sebelum lawatan Presiden Joe Biden ke Mexico, lawatan pertama Presiden Amerika Syarikat (AS) ke negara itu sejak tahun 2014.

Sementara itu, keadaan di Culiacan dilihat terkawal.

Syarikat penerbangan terbesar di negara itu Aeromexico berkata sebuah daripada pesawatnya diserang tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Gabenor Sinaloa Ruben Rocha Moya meminta penduduk ‘supaya bertenang dan berlindung di rumah.’ – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Kim Jong Un bawa anak perempuan lawat markas tentera

SEOUL, KOREA SELATAN, 8 FEB - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membawa anak perempuannya melawat kem tentera bagi menandakan ulang tahun ke-75 penubuhan...
- Advertisment -