TOKYO, 7 APRIL – Kartunis manga Jepun, Fujiko Fujio yang terkenal dengan kartun kanak-kanak termasuk Ninja Hattori dan Little Gost Q-Taro telah meninggal dunia pada usia 88 tahun, media tempatan melaporkan hari ini.
Kartunis itu yang nama sebenarnya ialah Motoo Abiko, ditemui di luar kediamannya berhampiran Tokyo hari ini, menurut penyiar swasta, TBS dan yang lainnya.
Polis enggan mengesahkan laporan kepada AFP, namun penghormatan kepada Abiko membanjiri Twitter daripada kartunis lain dan orang-orang industri penerbitan.
Abiko merupakan anak sulung seorang sami di sebuah kuil bersejarah di tengah kawasan Toyama. Namun keluarganya meninggalkan kuil itu selepas bapa Abiko meninggal dunia semasa dia dalam darjah lima.
Di sekolah menengah, dia berkawan dengan Hiroshi Fujimoto yang kemudiannya mencipta kartun yang disayangi Jepun, Doraemon dan kedua-duanya mula bekerjasama di bawah nama pena Fujiko Fujio.
Salah satu daripada karya terawal kedua-duanya ialah Q-Taro, mengenai hantu kanak-kanak nakal namun berhati baik yang hidup bersama keluarga manusia, dan mempunyai peminat di Jepun dan juga seluruh dunia. – AFP
