Karya manuskrip Brunei julang ketamadunan melayu

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Manuskrip Melayu-Jawi Brunei tidak kurang hebatnya dengan manuskrip Melayu-Jawi lain di alam Melayu, malah dapat dikatakan setanding dan Brunei diketahui mempamerkan ciri-ciri keBruneian dalam menghasilkan penulisan manuskrip.

Penjilidan manuskrip misalnya, juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dari sarjana Barat seperti Russle Jones (seorang pengkaji manuksrip) yang mengakui jilidan manuskrip lama Brunei sangat unik dan tidak pernah menemukan seumpamanya ketika melakukan pengkajian di London atau di Belanda (Holland).

Keunikan ini turut disokong oleh Annable dari British Library dan pengiktirafan ini sangat penting dalam sejarah penulisan manuskrip Brunei kerana orang Brunei telah berjaya menonjolkan kreativiti dan intelektual dalam arena penulisan manuskrip.

Perkara tersebut merupakan antara intipati yang disentuh dalam Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2019 bertema ‘Manuskrip Melayu Jawi Legasi Intelektual Sepanjang Zaman’ yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Berkenan berangkat mendengarkan ceramah tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung bergambar ramai bersama ahli Jawatankuasa Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2019.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung menandatangani lembaran kenangan.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menerima junjung ziarah.
Profesor Madya Dr Siti Sara ketika menyampaikan ceramah pada majlis tersebut.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja dijunjung oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Seri Paduka Hajah Elinda binti Haji C A Mohammad; Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar.

Dalam ceramah tersebut, Dekan Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Profesor Madya Dr Siti Sara bin Haji Ahmad semasa menyampaikan ceramahnya berkata karya-karya manuskrip Melayu-Jawi di alam Melayu sepertimana karya manuskrip dunia Islam juga telah berjaya meninggalkan satu legasi intelektual khusus untuk peradaban dan tamadun masyarakat alam Melayu dan juga tamadun dunia Islam.

Di sebalik kerancakan penulisan manuskrip Melayu-Jawi dan kejayaannya, jelas beliau, pasti banyak faktor yang menyumbangkan kepada kejayaan tersebut sehingga manuskrip ini menjadi ristaan sejarah.

“Melalui rentetan sejarah penulisan manuskrip Melayu-Jawi, raja sangat berperanan sekali gus menjadi tulang belakang dalam kejayaan penulisan, tambahnya.

Kenyataan sejarah mencatatkan bahawa raja Brunei sejak turun-temurun lagi cinta kepada ilmu dan ulama. Sementara itu, raja-raja Brunei dicatatkan sangat berhajat kepada nasihat ulama sehingga ulama didorong dan diso-kong untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dan sejarah Brunei menerusi penulisan.

Budaya pemartabatan manuskrip Melayu-Jawi kekal sehingga ke hari ini , tambah beliau, diperhebatkan lagi pada era pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berkat kepimpinan Baginda, Negara Brunei Darussalam berjaya melakar sejarah dalam dunia manuskrip iaitu pembinan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

“Baginda bukan semata-mata menyediakan bangunan malah melengkapinya dengan koleksi peribadi Baginda antaranya manuskrip dan di hasrat balai ini akan menjadi pusat khazanah intelektual Islam,” tambah beliau.