Thursday, December 7, 2023
27.5 C
Brunei

    -

    Karya Nur Zulaikha raih pengiktirafan

    KUALA LUMPUR – Menjadikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan artis terkenal Jepun, Kana Hanazawa sebagai inspirasi, berjaya membawa tuah kepada Nur Zulaikha Musfirah binti Mohd Ariff apabila berjaya meraih anugerah peringkat antarabangsa dalam festival seni visual.

    Nur Zulaikha Musfirah, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Barol Pial, Pasir Mas, Kelantan, memenangi pingat serta menerima sijil merit sebagai Best Representative Artist bagi karyanya bertajuk Kana Hanazawa dan Siti Nurhaliza dalam festival 24th International High School Arts Festival (IFAC-Japan) di Jepun Ogos lepas.

    Anak tunggal dari Rantau Panjang itu berkata Siti Nurhaliza yang merupakan idolanya dan Hanazawa adalah dua figura tepat dan sesuai untuk mewakili penceritaan warisan budaya Melayu dan Jepun dalam lukisannya.

    “Melalui lukisan ini, kedua-duanya ayu memakai pakaian tradisional dengan Siti Nurhaliza berbaju kurung serta berselendang manakala Hanazawa pula memakai kimono bagi menggambarkan identiti warisan negara masing-masing.

    “Ini untuk menceritakan bahawa budaya orang Melayu dan Jepun yang sangat menjaga kesopanan seorang perempuan melalui pakaian warisan mereka malah ia juga berkaitan adat serta kepercayaan kedua-dua negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Nur Zulaikha Musfirah bergambar bersama karyanya yang bertajuk Kana Hanazawa dan Siti Nurhaliza. – Bernama

    Dalam lukisannya, Nur Zulaikha Musfirah menggunakan skema warna harmoni berlatar belakang corak organik yang dilukis dengan sangat halus dipenuhi warna kuning manakala kedua-dua figura berkenaan berpakaian tradisional masing-masing berwarna perang gelap untuk memberikan kontra pada karya itu.

    Menurutnya, lukisan itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan sebelum ia dihantar bagi penyertaan menerusi Festival Seni Visual Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 anjuran Kementerian Pendidikan yang bermula April hingga Mei lepas.

    Lukisan Kana Hanazawa dan Siti Nurhaliza yang menggunakan ciri-ciri catan realisme dan pop art itu dipilih sebagai johan melalui festival berkenaan bermula dari peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seterusnya mewakili Malaysia ke 24th IFAC-Japan dengan karya itu dipamerkan di Pusat Seni Negara, Tokyo, Jepun dari 2 hingga 15 Ogos lepas.

    Bercerita lanjut, Nur Zulaikha Musfirah berkata idea karya lukisan itu adalah menerusi hasil perbincangan bersama guru pembimbingnya, Suriani Mat Sa’at malah bersama-sama membuat kajian bagi memenuhi kehendak tema warisan budaya Malaysia dan Jepun.

    “Pada awalnya, guru pembimbing tidak menyedari saya mampu melukis Siti Nurhaliza dengan baik kerana saya bukan pelajar yang memilih elektif seni visual tetapi setelah saya yakinkan dengan karya-karya potret yang ditempah rakan-rakan saya, barulah guru pembimbing beri kepercayaan penuh bahawa saya mampu menghasilkan karya terbaik,” katanya.

    Pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan itu berkata beliau sangat gembira serta tidak menyangka mampu meraih kemenangan dalam festival antarabangsa itu.

    “Tidak sangka boleh menang kerana saya bersaing dengan para pelajar berbakat terutamanya mereka dari sekolah-sekolah seni yang hebat-hebat belaka,” katanya yang mula minat melukis figura manusia sejak berusia lima tahun.

    Nur Zulaikha Musfirah turut merakamkan penghargaan kepada keluarga serta semua pihak berkaitan terutama pihak SMK Barol Pial yang banyak membantu dari segi kewangan serta sokongan moral sehingga mencapai kemenangan di peringkat antarabangsa.

    Mengakhiri perbualan, Nur Zulaikha Musfirah yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Disember ini, berazam untuk mendapatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam SPM.

    “Saya bercita-cita untuk menjadi doktor gigi tetapi saya juga akan menjadikan seni sebagai kerja sambilan saya pada masa hadapan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Rekrut warga Nepal dalam tentera Rusia, 12 ditahan

    KATHMANDU, 6 DIS – Polis Nepal mengumumkan hari ini mereka telah menahan 12 orang yang dituduh menghantar lelaki muda Nepal secara haram untuk direkrut...