Kaset lama tarik pencinta muzik nostalgia

MANCHESTER, UNITED KINGDOM – Terletak di satu penjuru tingkat atas sebuah pasar tertutup di Manchester, barat laut England, adalah kedai terakhir di Britain yang khusus menjual kaset.

Mars Tapes dipenuhi kira-kira 1,000 kaset, radio Coca-Cola, peti pembesar suara, edisi vintaj perakam kaset Walkman dan aksesori lain yang berkaitan dengan pita rakaman dalam unit retail padat yang lebih kecil daripada salah sebuah gerabak trem di bandar raya itu.

Lagu popular oleh bintang penyanyi termasuk Elvis Presley, Florence and the Machine dan Lewis Capalsi mendereti rak, tatkala lagu-lagu klasik menyediakan latar belakang muzikal, membawa pelanggan kembali mengimbau kenangan lama.

Kedai itu didirikan pada 2019 oleh sekumpulan orang yang disatukan oleh cinta terhadap muzik, jelas pengasas bersama Giorgio Carbone.

Jurutera muzik Sepanyol Borja Regueira, 28, dan teman wanitanya Moira Lorenzo, 27, pada mulanya bercadang untuk membina sebuah kedai yang menjual kaset sahaja.

Girogio Carbone, pengasas Mars Tapes, bergambar di kedainya. – AFP
Giorgio Carbone mendengar lagu dari kaset di kedainya di Manchester, barat laut England. – AFP
Kotak kaset yang dijual di Mars Tapes di Manchester. – AFP

Kelihatan pemain kaset di Mars Tape di Manchester, England. – AFP

Warga Itali Carbone, 30, dan wartawan dan pemuzik berusia 28 tahun, Alex Tadros menyokong idea tersebut dan menggabungkan kedai menjadi label piring hitam kumpulan berkenaan.

Kedai itu menggunakan trend nostalgia dalam kehidupan kebudayaan yang ditonjolkan oleh pandemik koronavirus.

Orang ramai telah beralih kepada membaca buku dan menonton filem klasik dan siri televisyen untuk menghilangkan kebosanan dan mencari ruang untuk melepaskan diri semasa sekatan.

Penjualan vinil – kaset plastik dalam saiz poket yang amat popular dalam pengedaran muzik – meningkat kepada tahap tertinggi sejak 1990an di Britain pada tahun lalu.

Artis moden seperti Lady Gaga, Dua Lipa dan Selena Gomez telah melancarkan pita rakaman baru-baru ini, merangsang peningkatan penjualan kaset di Britain kepada kira-kira 157,000 pada 2020 – angka tertinggi sejak tahun 2003.

Pengeluaran kaset secara besar-besaran bermula pada tahun 1960, dengan 2.4 juta pemain pita kaset dihasilkan dan dijual di seluruh dunia oleh 86 pengeluar berlainan pada tahun 1968.

Namun era kegemilangannya di UK berakhir dengan ledakan penjualan CD pada 1980 dan 1990, menyebabkan beberapa peminat muzik rindu akan kenangan masa lampau.

Pengurus gudang Mark Williams, 38, membelek-belek koleksi Mars Tapes dengan kamera analog yang tergantung di lehernya dan berkata minatnya berputik daripada ‘kenangan nostalgia yang mengatasi segala-galanya.’

“Saya adalah anak kelahiran tahun 80an dan 90an – saya membesar bersama kaset. Ia boleh dilihat, sesuatu yang dimiliki anda secara fizikal, bukan sahaja data yang dimuat turun,” beritahunya kepada AFP.

Namun keadaan melambung dalam penggunaan kaset bukan sahaja terbatas kepada generasi lebih tua yang ingin mengenang kembali zaman muda mereka.

Pendengar lebih muda juga semakin suka menikmati muzik dan bukan hanya sekadar melihat-lihat senarai lagu dalam talian dan menatal tanpa henti-henti menerusi media sosial.

“Orang suka idea memiliki sesuatu fizikal. Lebih-lebih lagi sekarang, dengan koronavirus dan sekatan, ia merupakan satu cara untuk lebih menghayati muzik,” kata Carbone.

“Terdapat banyak kerja di sebalik sebuah kaset. Ia adalah sesuatu yang hilang mengikut masa, untuk menghargai apa yang kami ada dan mendengar sesuatu lebih daripada sekali dan tidak melupakannya.”

Pembantu kedai Jane Fielding, 22, sekali-skala mendengar lagu di kaset di Walkman. “Saya suka kesederhanaan, tidak adanya gangguan, tidak ada notifikasi di telefon saya,” katanya.

Kebanyakan pita berharga tidak lebih daripada 10 pound, dengan harga meningkat kepada 50 pound untuk produk edisi terhad.

Kaset adalah lebih murah dan lebih senang dihasilkan berbanding vinil dan Mars Tapes mengehadkan pengeluarannya bergantung pada genre dan kumpulan muzik untuk mengekalkan harga daripada melambung naik, jelas Carbone.

Kedai itu memperoleh stok dari laman web seperti eBay, sumbangan individu dan label rekod termasuk Universal, sementara Carbone, Tadros dan label rekod Regueira menyokong kumpulan muzik tempatan dengan membeli pita mereka.

“Di Itali, tidak adanya budaya muzik seperti ini. Rasa seronok berada di sini kerana terdapat ramai orang yang meminati kaset,” kata Carbone.

“Kami sangka kaset merupakan cara paling mampu untuk menghasilkan rekod dan membantu kumpulan muzik.”

Dan pendengar sosial mahu artis bebas mencari nafkah yang bagus daripada hasil kerja mereka dan bukannya mengisi dana syarikat penstriman gergasi seperti Spotify dan Apple Music.

Perkhidmatan penstriman menyumbang kepada 80 peratus daripada penggunaan muzik UK pada 2020 tetapi telah dikritik kerana menipu pemuzik.

“Anda memiliki muzik dan menyokong artis, besar dan kecil,” tambah Carbone.

Carbone mengakui nampaknya ‘tidak masuk akal’ untuk menghuni unit yang lebih besar selepas sekatan pada musim sejuk 2021 di UK dan kesannya ke atas ekonomi.

Namun bantuan geran dari majlis Manchester dan percutian sewa membantu Mars Tape bertahan. Beliau memikirkan kaset tetap akan menimbulkan minat ‘unik’ namun menjangka permintaan akan kekal stabil.

“Ia disebabkan terdapat sesuatu mengenai bunyi kaset yang memberikan kelainan.

Pelanggan prospektif, John Yates, pengurus kedai berusia 45 tahun, bersetuju.

“Bunyinya lebih baik pada kaset, jauh berbeza apabila mendengar di radio – ia merupakan satu lagi tahap dari segi penghayatan muzik,” katanya. – AFP