Kashmir: Pakistan ikrar bertindak balas

MUZAFFARABAD, 14 OGOS – Perdana Menteri Imran Khan (gambar bawah) hari ini memberi amaran kepada India bahawa Pakistan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan di wilayah bertikai Kashmir, berjanji sudah tiba masanya untuk mengajar Delhi.

Kenyataan Khan dibuat ketika ketegangan memuncak antara saingan bersenjata nuklear itu susulan langkah India menarik balik status quo wilayah Himalaya dipertikaikan di bawah pentadbirannya minggu lalu.

“Tentera Pakistan mempunyai maklumat kukuh bahawa mereka (India) merancang untuk melakukan sesuatu di Kashmir, Pakistan, dan tentera kami sudah bersedia dan akan bertindak balas,” kata Khan semasa ucapan disiarkan secara langsung di Muzaffarabad, ibu kota wilayah Kashmir ditadbir Pakistan.

“Kami sudah memutuskan jika India melakukan sebarang pencabulan, kami akan berjuang sehingga ke akhir.”

Amaran perang bekas pemain kriket itu menunjukkan peningkatan retorik Pakistan selepas Islamabad minggu lalu mengatakan mereka menidakkan sebarang ‘opsyen ketenteraan’ ke atas pertikaian itu.

“Sudah tiba masanya untuk mengajar kamu,” tambah Khan dalam ucapan meraikan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara itu.

Susulan langkah New Delhi memansuhkan status khas Kashmir, Pakistan sudah melancarkan usaha-usaha diplomatik bagi menghentikan arahan itu dan secara rasminya meminta Majlis Keselamatan PBB lewat semalam untuk mengadakan sesi tergempar.

Pakistan juga mengusir duta India, menghentikan perdagangan dua hala dan menggantung perkhidmatan pe-ngangkutan rentas sempadan. Walau bagaimanapun, penganalisis mengatakan tindakan itu kemungkinan besar tidak akan mengganjakkan keputusan Delhi. – AFP