Kashmir semakin tegang

SRINAGAR, 18 OGOS – Lapan orang cedera semasa protes hujung minggu di bandar utama Kashmir dengan pihak berkuasa mengenakan kawalan untuk memadamkan rusuhan di beberapa kawasan yang bermasalah, kata para pegawai.

Ketegangan kekal meruncing di wilayah Himalaya yang dipertikaikan berikutan keputusan New Delhi melucutkan status separa autonominya pada 5 Ogos.

Pihak berkuasa secara beransur-ansur meredakan pergerakan besar-besaran dan kawalan komunikasi yang dikenakan dua minggu lalu.

Tetapi pertempuran di beberapa lokasi di sekitar Srinagar pada Sabtu menyaksikan kawalan ketat dikuatkuasakan kembali di beberapa lokasi, menurut Press Trust of India (PTI) memetik pegawai yang tidak disebut namanya.

Pihak berkuasa sebelum ini menafikan laporan sebarang keganasan dan menegaskan bahawa sebahagian besar penduduk Islam Kashmir Valley hidup aman damai.

Jurucakap kerajaan Jammu dan Kashmir Rohit Kansal memberitahu wartawan lewat Sabtu bahawa lapan orang cedera dalam pertempuran tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu AFP awal hari ini keadaan kembali kepada operasi biasa menjelang petang. Sekolah di beberapa kawasan juga akan dibuka semula pada Isnin, kata para pegawai.

Di bandar Jammu yang majoritinya penduduk Hindu, pihak berkuasa memotong perkhidmatan internet mudah alih dan memberi amaran kepada penduduk tempatan agar tidak mengedarkan mesej atau video di media sosial yang dikatakan palsu, kata PTI.

Tentera India juga mengesahkan bahawa seorang askar terbunuh apabila pertempuran hebat dengan Pakistan meletus pada Sabtu. – AFP

Seorang warga Kashmir India sedang berjalan di Taman Perisian Teknologi di Srinagar, kelmarin. – AFP