Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasih sampai syurga

    AKU tatap lama gambar ibu dan bapa lama-lama. Rindu yang ku simpan selama ini aku lepaskan tanpa mampu ku tahan lagi. Mencurah-curah air mataku sampai mengenai sedikit gambar sedikit usang tersebut. Gambar yang aku simpan sejak sekian lama sehinggalah aku kini terlalu jauh dari keduanya. Serius, aku terlalu rindukan mereka. Rindukan gelak-tawa dan marah mereka selama mendidikku hingga dewasa. Tapi kini… hanya sekeping gambar itu saja mampu ku tatap dengan linangan air mata yang tiada penghujungnya. “ADUH!” aku mengadu sakit akibat jatuh ke tanah. Ayah yang sedang mencangkul tanah buat tanam ubi kayu terus menghentikan kerjanya. Berlari dia mendapatkan aku dan terus memandang lututku yang sudah kemerahan. Mujur saja tidak keluar darah. Ayah geleng-geleng kepala, kemudian dia tiup lukaku itu sedang aku pula masih menahan pedih.

    Sayang betul ayah pada aku padahal anaknya ini nakal tahap dewa. Kalau tidak sebab terjatuh tadi, mesti saat ini aku masih lagi tawaf satu ladang tanaman ayah sambil main tembak-tembak seorang diri. Seolah-olah ada yang temankan aku bermain. Hakikatnya, cuma aku seorang diri. “Sakit nak?” tanya ayah. Aku angguk sambil buat muka sedih. Terus bapa cium dahi aku dengan penuh kasih sayang. Aku yang masih berumur 8 tahun yang masih kurang mengerti erti kasih sayang sebenar, terkekeh-kekeh ketawa kerana ayah cium dahi aku. Bahagia betul aku saat itu.

    Lalu ayah letak aku di belakangnya. Digendongnya aku sambil menuju ke arah cangkulnya yang tertinggal tadi. Lalu diambil dan kami pulang berjalan kaki ke rumah. Lagipun hari sudah kelihatan makin gelap. Mungkin sekejap lagi masuk waktu Maghrib. Di belakang ayah, sakit di lututku tadi aku rasa sudah beransur hilang. Aku nyanyi lagu sekolah, kemudian bertukar lagu Negaraku pula. Ayah pula perbetulkan lirik lagu kalau-kalau ada yang silap aku sebut. Kemudian aku nyanyi lagi sampailah ayah tidak tegur lagi. Maksudnya, lagu yang aku nyanyi itu sudah betul semua liriknya.

    Riang betul aku menyanyi sambil-sambil ayah ikut sekali sampai tidak sedar kami berdua sudah sampai ke rumah. Melihat aku dan ayah sudah sampai di halaman rumah, ibu yang sedang menyapu daun-daun kering terus memaniskan romannya. Sapu lidi disandarkannya pada pokok mangga. “Assalamualaikum!” ucap ayah sambil mendekati ibu. “Walaikumsalam.” Sambut ibu sambil tersenyum bahagia. “Ibu, sakit~” Aku merengek manja sebaik ayah letak aku ke bawah. Terus mata ibu membulat besar, risau yang tidak terkata. Segera dia capai lutut aku dan dipandangannya dengan kerutan di dahi.

    “Ya, Allah. Kenapa dengan lutut anak mak ni?” soal ibu risau. Aku buat muka sedih, kononnya rasa sakit itu masih terasa. Padahal sudah beransur hilang. Maklum sajalah, cuma aku seorang saja puteri tunggal mereka. Tidak berkakak, berabang ataupun beradik. Cuma aku seorang. Jadi, memang patut aku perlu bermanja dengan mereka berdua. Sama macam ayah tadi, ibu juga tiup-tiup perlahan lututku yang masih kelihatan merah.

    “Siapa tolak, sayang?” tanya ibu lagi. Aku pantas geleng kepala. Hendak tuduh siapa kalau cuma aku seorang saja yang main di ladang tadi. Ayah pula sibuk dengan cangkulnya, walaupun sesekali dia menjerit suruh aku hati-hati bermain tadi. “Itulah, lain kali jangan main ganas sangat. Kan dah luka. Ilya kan puteri ibu dan ayah, jadi kena jadi selembut puteri di istana.” Ibu cuit hidungku sekali. Ayah geleng kepala sambil tersenyum. Dia berlalu ke bawah kolong rumah, mahu letak cangkulnya di situ. “Mari, naik rumah. Ibu bubuh ubat gamat, nanti boleh hilang cepat.” Pujuk ibu seraya memegang tanganku bawa naik rumah. Ibu suruh aku duduk diam di serambi sementara dia masuk ke dalam mahu ambil ubat gamat dan juga kapas.

    Kemudian ibu muncul semula dan terus mendapatkan kakiku semula. Ibu pandang lututku sebelum menitiskan sedikit cecair ubat gamat itu ke kapas. Selepas itu disapu-sapunya di bahagian luka tersebut dengan perlahan dan penuh kasih-sayang. Ayah muncul dari bawah kolong dan duduk di sebelahku. Memandang wajahku yang sedikit menahan sakit kerana disapu cecair ubat gamat tersebut.

    “Nanti dah besar, Ilya kena sapu ubat sendiri kalau luka tau. Jangan biarkan lama-lama, nanti kena jangkitan kuman lagi teruk.” Pesan ayah tiba-tiba. Aku yang masih berumur 8 tahun itu hanya angguk-angguk kepala. Belum mengerti sepenuhnya. Ibu senyum lihat aku begitu. “Ingat pesan ayah tu tau. Dah besar nanti, sambung pelajaran atau kerja tempat jauh mana ibu atau ayah dapat tolong sapukan ubat lagi.” Tambah ibu. Aku terus muncungkan bibir dan segera kupeluk pinggang ibu. Aku tak mahu berpisah dengan mereka berdua. Pasti aku tidak boleh hidup tanpa mereka. Tiada tempat untukku bermanja lagi.

    “Tak nak! Ilya tak akan pergi belajar atau kerja tempat yang jauh-jauh dari ibu dan ayah. Ilya tak nak!” aku membentak. Pelukanku di pinggang ibu makin kejap rasanya. Seolah-olah saat itu juga aku akan dewasa seperti yang ibu dan ayah cakap tadi. Sambung belajar dan kemudian kerja jauh dari mereka. Kalau boleh, selamanya aku hanya di sisi mereka berdua. Pedulilah kalau ada orang cakap aku anak ibu dan ayah. Memang aku anak mereka berdua kan? Jadi apa nak kisah. Ayah geleng kepala lalu diusap-usap perlahan kepalaku. Satu kucupan agak lama hinggap di dahiku. Aku begitu rasa gembira. Aku tahu, ayah sangat sayangkan aku begitu juga dengan ibu. Kalau tidak, mustahil mereka begitu ambil berat tentang diriku. “Kamu satu-satunya anak ayah dan ibu, Ilya. Sampai bila-bila pun cuma kamu seorang. Bila dah besar nanti, kamu akan faham kenapa ayah cakap begini.” Ayah sambung lagi. Aku meleraikan perlahan pelukanku di pinggang ibu. Aku tatap lama mata ayah. Ada sesuatu yang aku tidak boleh tafsir perasaannya waktu ini. Mungkin bila dewasa nanti aku akan mengerti.

    “Ayah tak sayangkan Ilya kan? Sebab tu ayah suruh Ilya sambung pelajaran dan kerja jauh-jauh. Ayah jahat!” entah, sebagai kanak-kanak yang baru berusia semuda itu apa saja yang terlintas di fikiranku, itu yang aku luahkan. Ibu pula sudah ketawa kecil. Mungkin lucu benar lihat aku begitu. Kecil-kecil lagi sudah pandai merajuk. Kemudian, ibu pula usap kepala aku. Seolah-olah dengan caranya itu mahu memujuk rajukku pula tadi. “Bukan tak sayang, tapi untuk kebaikan Ilya juga. Pendidikan tu penting untuk jamin masa depan yang lebih baik buat Ilya, ibu dan ayah. Ilya tak nak ke bagi kehidupan yang lebih baik untuk ibu dan ayah nanti?” pantas kepala kugeleng laju.

    Kemudian aku peluk mereka berdua erat-erat agar tidak terlepas ke tangan sesiapa. Mereka berdua cuma milik aku berdua. “Ilya sayang ibu dengan ayah. Ilya janji, Ilya akan belajar tinggi-tinggi dan dapat kerja yang baik.” Aku mematri janji meski masa itu umurku baru berapalah sangat. Janji itu sekadar terluah di mulut tapi bukan di hati sepenuh hati. Entah, sudah besar nanti aku masih ingat lagi atau esok pagi aku sudah lupa apa yang aku cakap hari ini. “Good girl.” Puji ayah. Sebenarnya aku tidak faham pun apa yang ayah cakap tadi. Tapi aku pasti, ayah sayangkan aku.

    “Ingat Ilya, bila besar nanti jadilah manusia. Manusia yang berguna buat keluarga, negara, agama dan juga diri Ilya sendiri. Insya-Allah, Ilya akan berjaya kecapi cita-cita yang Ilya impikan nanti.” Panjang ayat ayah beri pada aku. Meskipun dia tau aku masih kecil lagi. “Mungkin hari ni Ilya tak mengerti lagi, insya-Allah dah besar nanti Ilya akan faham.” Ibu pula yang sambung. Aku angguk-angguk kepala antara mengerti dan tidak maksud mereka. Sekali lagi ibu dan ayah ketawa melihat aku begitu, terhibur benar lihat aku begitu agaknya. Melihat mereka gembira aku turut bahagia.

    “KAU kenapa Ilya?” rakan sebilik aku menegur hairan. Laju kusapu air mata yang mengalir ke pipi tadi. Segala kenangan waktu kecil aku bersama ibu dan ayah terus bertebaran hilang dari minda. Setelah kering air mata di pipi, barulah aku toleh ke arahnya. Nurin terus terjun ke katilnya. Ketara sangat penat gadis itu hari ini. “Dah habis kelas ke?” soalku saja mahu ajak berbual. Mahu menghilangkan rasa sedihku tadi. Nurin kulihat angguk-angguk kepala tanpa angkat muka. Aku tersenyum kecil. Kembali aku pandang gambar ibu dan ayah. Senyuman mereka buat aku semakin rindu pada mereka berdua.

    Luka di jari telunjuk yang baru saja kusapu dengan cecair ubat gamat telah menggamit rinduku pada mereka berdua, semoga keduanya sihat-sihat sahaja. Terlalu lama tidak bersua muka lantaran aku sudah jauh melanjutkan pelajaran ke sini, demi mengejar impian dan cita-cita.

    Lantas kucapai baju sejuk berbulu warna hitamku. Lalu kusarung ke badan. Mahu keluar sebentar cari makanan di bandar Itaewon, Korea Selatan itu. Sebelum keluar, aku toleh sekejap ke arah Nurin. Entah, sudah tertidur agaknya. Tidak mahu mengganggunya, aku tutup pintu perlahan dan berlalu. Nanti aku bungkuskan sahaja makanan untuk makan malamnya. Langkah ku panjangkan sehingga sampai ke jalan besar untuk melintas. Menanti sehingga lampu merah menyala baru aku melangkah semula. Gerai makan yang selalu aku kunjungi cuma berada di sebelah jalan itu saja.

    Setelah lampu merah bertukar hijau, Aku terus melajukan langkah agar cepat sampai ke seberang kerana bimbang lampu merah akan bertukar ke warna hijau pula. Namun tiba-tiba aku berhenti sebaik melihat ada seorang makcik tua yang terbongkok-bongkok cuba melintas jalan yang sama. Terlari-lari kecil dengan tangan kiri dan kanannya penuh dengan plastik. Kerana rasa simpati, aku segera bimbing dia melintas jalan. Plastik yang ada di tangan kirinya aku capai, cuba meringankan beban makcik tua tersebut. Mula-mula dia teragak-agak dengan pertolonganku, namun kerana masa untuk melintas semakin habis, terpaksa juga dia ikut aku sampailah ke jalan di mana aku berdiri menunggu tadi.

    Tiba di situ, aku beri semula barangannya. Kelihatan makcik tua itu terasa segan pula denganku. Mungkin kerana rasa-wasangkanya dengan pertolonganku tadi. Aku hanya memaniskan wajah agar dia tidak terus menyimpan rasa bersalah. Sesunggunnya aku ikhlas menolongnya tadi. “Kamsa-ham-ni-da(terima kasih).” Ucapnya dan tunduk berkali-kali. Aku pula yang jadi segan.

    “A-ni-yo(tidak). Gwaen-chah-na-yo(tidak apa-apa).” Jawabku juga cepat-cepat dan tunduk kepala macam yang dia buat padaku kini. Melihat dia sudah berhenti, barulah aku lega. Kalau tidak, entah sampai bila kami asyik tunduk-tunduk kepala begitu. Sudahlah di tepi jalan, ramai orang pula tu. Malu pula aku. Dia meminta diri dan aku hanya menghantarnya dengan senyuman yang masih melebar di wajahku. Tiba-tiba aku rasa begitu senang hati sekali kerana dapat membantu makcik tadi. Wajah ibu dan ayah kembali menerpa di mataku.

    “Apabila kamu sudah dewasa nanti, berikan sepenuh kasih sayang kepada ibu bapa kamu kerana mereka adalah pemegang tali penyambung nyawa ketika kamu meningkat dewasa. Kasih mereka adalah sedikit dari titisan airmata dan titik peluh yang tak mungkin terbalas.” ayat yang aku dengar dalam salah-satu kuliah di masjid Itaewon terngiang-ngiang di kepalaku. Benarlah, kasih ibu membawa ke Syurga, kasih ayah sepanjang masa. Aku meneruskan langkah apabila lampu hijau tadi sudah bertukar merah sekali lagi. Sambil berdoa dalam hati, Ya Allah, Ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahanku dan dosa-dosa kesalahan kedua ibubapaku. Serta kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku semasa kecil. Amin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda