Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasih sayang kunci kebahagiaan

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Islam adalah agama yang lengkap merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah aspek kehidupan berkasih sayang sesama manusia dan makhluk lain di muka bumi ini.

    Sifat kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah SWT kurniakan dalam naluri setiap insan dan ia amat penting dalam membina sebuah keluarga yang kukuh, bahagia dan harmoni. Dengan sifat ini juga boleh melahirkan sebuah bangsa, masyarakat dan negara yang aman damai dan sejahtera.

    Perkara tersebut ditekankan oleh khatib semasa menyampai khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Kekukuhan dan Kesejahteraan Keluarga Harapan Bersama’ di mana hubungan keluarga itu bergantung kepada ikatan mesra dan kasih sayang antara ibu bapa dan ahli-ahli keluarga yang lain.

    Oleh itu, membina kasih sayang sesama ahli keluarga adalah tunjang utama bagi mencapai kebahagiaan dan keharmonian dan akan tetap terpelihara sepanjang masa.

    Sabda Rasulullah SAW, daripada Jabar bin Abdullah Radhiallahu anhu katanya, “Bersabda Rasulullah SAW ‘barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya’.”

    Hadis tersebut jelas khatib sangat menganjurkan umat Islam supaya hidup berkasih sayang dengan sentiasa memelihara hubungan keluarga dan persaudaraan.

    “Perlu diketahui, keluarga adalah institusi terpenting bagi sesebuah masyarakat kerana dari sinilah lahirnya individu yang bakal menjadi tulang belakang kepada pembangunan dan kejayaan sesebuah bangsa dan negara.”

    Sesungguhnya keluarga yang kukuh dan mantap itu dapat menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara. Oleh yang demikian, setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing yang mesti dipikul dan ditunaikan demi kejayaan dan kemantapan sesebuah institusi keluarga.

    Khatib turut menekankan bahawa dalam sesebuah keluarga, suami adalah pemimpin atau ketua dalam keluarganya. Suami memikul amanah dan tanggungjawab yang sangat besar yang tidak boleh diabaikan iaitu menjaga isteri dan anak-anak supaya mereka beroleh kebahagiaan, keselamatan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

    Manakala isteri pula bertanggungjawab menjaga rumah tangga, membantu suami dan bekerjasama dalam mendidik anak-anak berlandaskan ajaran agama Islam.

    Bagi mencapai keharmonian dan kemantapan sesebuah institusi keluarga, ia hendaklah dibentuk berlandaskan ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta dibina atas dasar takwa kepada Allah SWT. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memastikan akidah dan akhlak ahli-ahli keluarga tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

    “Ibu bapa hendaklah menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak mereka dengan memberikan bimbingan dan nasihat kepada anak-naak sejak dari kecil lagi berlandaskan ajaran agama Islam supaya akidah dan iman me-reka terus teguh dan mantap serta tidak akan diganggu gugat oleh sebarang anasir kemunkaran dan kezaliman,” jelas khatib.

    Keluarga yang tidak dibentuk berlandaskan ajaran Islam boleh saja terdedah kepada berbagai masalah antaranya seperti pen-yalahgunaan dadah, penganiayaan, pergaulan bebas, sumbang mahram dan pelbagai lagi masalah sosial.

    Khatib mengingatkan, “Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus berusaha sedaya upaya untuk membentuk sesebuah keluarga yang bahagia dan harmoni dengan berpandukan ajaran agama Islam.”

    Antaranya meneguhkan keimanan yang kukuh dan nilai-nilai Islam dalam keluarga, memahami tanggunjawab dan amanah yang dipikul, nasihat-menasihati dan memberi sokongan secara bijaksana dan memupuk kasih sayang yang berpanjangan.

    “Kini kita telah berada di penghujung bulan Sya’aban, ini bermakna tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Ramadan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan keampunan daripada Allah SWT, bulan yang dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan inilah umat Islam diwajibkan untuk berpuasa,” ujar khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda