KERAP kali kita mendengar bahawa cinta yang bertaut antara pasangan boleh datang dan pergi ditelan arus masa. Namun, kasih ibu tetap kekal abadi hingga ke syurga. Tampak jelas perbezaan hubungan antara ibu bapa dan anak.
Ia bukan bersandarkan budaya, sebaliknya suatu ikatan semula jadi yang terbentuk dari rasa tanggungjawab, persefahaman, hormat-menghormati dan empati.
Lazimnya, wanita paling mudah membina ikatan dengan anak damit. Sebaik mengetahui dirinya hamil, wujud perhatian dan kasih sayang dalam diri mereka untuk menjaga, memelihara kandungan, meneliti tumbesaran janin, menyediakan yang terbaik, melahirkan, seterusnya mendidik zuriat tercinta menjadi manusia yang berguna.
Hal serupa turut berlaku kepada kaum bapa. Mereka akan mula berasa kasih kepada janin yang dikandung isterinya, hinggakan ada yang sanggup menunaikan apa saja kemahuan pasangan sepanjang tempoh kehamilan.
Menurut Pakar Perunding Gravidities Parenting, Dr Nurzarina Abdul Rahman, perasaan cinta yang terbentuk sejak awal kehamilan berpunca daripada hormon kasih sayang atau oksitosin.
“Majoriti ibu bapa akan mula merasai kesan hormon ini apabila mendapat khabar kehamilan. Ibu akan merasakan wujudnya pertalian baru yang sarat dengan rasa kasih dalam diri mereka, sementara bapa pula mengalami perubahan dari segi emosi dan empati terhadap anak.
“Apabila sampai ketikanya untuk melakukan pemeriksaan antenatal pertama, melihat skrin pengesanan ultra bunyi, melihat pergerakan janin dan mendengar degup jantungnya, secara automatik rasa kasih akan terpahat semakin dalam.
“Sebab itulah kita kerap mengesyorkan kaum ibu supaya datang bersama pasangan, menyertai kelas antenatal, persediaan bersalin, menemani ke hospital dan sebagainya. Apabila ibu mula berasa kontraksi untuk bersalin, ini menandakan hormon oksitosin makin meningkat dalam badan ibu. Ia akan membantu menyerlahkan rasa keibuan, sekali gus membantu ibu bapa untuk lebih bersedia menyambut kelahiran,” katanya.
Komunikasi janin
Sebelum anak membesar dan memahami kehidupan, mereka sebenarnya sudah bijak berkomunikasi dengan gaya bahasa tersendiri. Seawal usia kandungan 16 minggu, anak damit sudah memiliki deria sentuhan dan cenderung memberi tindak balas apabila perut ibu disentuh. Ia adalah deria pertama yang terbentuk ketika proses janin membesar dan akan terus berkembang dari semasa ke semasa.
“Bagi yang mengikuti kelas antenatal, mereka biasanya akan diberi pendedahan bagaimana untuk berkomunikasi dengan anak damit secara berkesan. Umpamanya, bercakap perkara positif dengan anak damit, memegang atau mencucuk-cucuk perlahan perut ibu, memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran (bagi pasangan Muslim) atau alunan muzik.
“Dalam kebanyakan situasi, anak damit juga akan mula membentuk ikatan dengan ibu bapa. Mereka akan bertindak balas terhadap rangsangan yang diberi dengan menendang dan bergerak aktif.
“Malah, kajian menunjukkan bahawa jantung anak damit juga akan berdegup lebih cepat apabila mendengar suara kedua ibu bapanya. Sudah pasti suara itu akan terus dikenali sehingga mereka dewasa kelak,” katanya.
Satu bentuk jalinan ikatan paling kukuh yang terbentuk antara ibu dan anak damit sejak mereka dilahirkan adalah menerusi penyusuan susu badan secara eksklusif.
Kata Dr Nurzarina, penyusuan bukan sekadar tanggungjawab yang perlu dilunaskan kaum wanita terhadap permata hati, tetapi berupaya mengikat hubungan erat antara ibu dan anak damit.
“Dalam proses kelahiran, aliran oksitosin dalam darah seorang ibu akan terus meningkat. Ia kemudiannya menyebabkan kontraksi, sekali gus membantu melancarkan proses melahirkan. Dalam masa sama, hormon ini turut membantu merangsang pengaliran susu ibu dan menghilangkan rasa letih serta kesakitan bersalin.
“Sekiranya si ibu terus memegang anak damit dan menyusukan, oksitosin akan terus meningkat, mempengaruhi rasa tenang, gembira, seterusnya mengukuhkan lagi kasih sayang di antara mereka,” katanya.
Perlu diketahui bahawa kaum bapa juga tidak dapat lari daripada mengalami kesan oksitosin. Mereka mungkin mengalirkan air mata saat pertama melihat anak damit atau tenggelam dalam emosi yang sukar hendak ditafsirkan.
Perubahan biologi ini dikatakan berlaku secara dramatik. Malah satu kajian di Kanada pada tahun 2001 menunjukkan bahawa tahap hormon testosteron lelaki biasanya meningkat untuk beberapa bulan selepas mereka menjadi bapa buat kali pertama. Apa yang lebih menarik, sesetengah lelaki mula menghasilkan hormon estrogen tambahan, dan ini mungkin tanda jelas kuasa perubahan apabila seseorang menjadi bapa.
Begitu pun, menurut sesetengah pakar, estrogen membuatkan otak lebih sensitif kepada oksitosin. Ia menjadikan bapa lebih penyayang dan mengambil berat.
Bagi kaum ibu pula, selagi adanya rangsangan penyusuan, sentuhan kulit ke kulit dan pelukan erat dengan anak damit, oksitosin akan terus meningkat, membina ikatan erat yang sukar hendak di tafsir dengan kata-kata.
Tidak sayang anak
Sekalipun kedengaran mustahil, namun situasi ini berlaku dalam masyarakat kini. Tolak ketepi isu pengabaian atau pembuangan anak damit dalam kalangan remaja kini, perasaan sayang terhadap anak damit sendiri boleh jadi kosong disebabkan tiga faktor berikut;
-Tiada penyusuan susu ibu secara eksklusif.
– Proses kelahiran yang traumatik.
– Ibu terpisah dengan anak damit selepas kelahiran.
Jelas Dr Nurzarina, penyusuan memainkan peranan besar dalam membentuk ikatan antara ibu dan anak, sekali gus mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin atau lebih dikenali sebagai meroyan.
“Menurut kajian Asia-Pacific Psychiatry mengenai kemurungan selepas bersalin dalam suasana hospital bagi ibu di Malaysia pada tahun 2012, sekurang-kurangnya 6.8 peratus wanita yang mengalami masalah meroyan tidak menyusukan anak damit mereka secara eksklusif.
“Perlu diketahui bahawa apabila seorang ibu itu menyusukan anak damit, secara tidak langsung wujud pelukan dan sentuhan kulit ke kulit. Inilah bentuk rangsangan yang boleh meningkatkan hormon oksitosin.
“Sepatutnya, dalam tempoh satu jam selepas bersalin, ibu perlu dipastikan memegang atau memeluk anak damit mereka dengan sentuhan kulit ke kulit. Ini diumpamakan masa emas untuk kedua-duanya membina ikatan.
“Anda boleh lihat perbezaan ikatan yang terbentuk antara anak yang dilahirkan, dibersihkan dan kemudian diasingkan sebelum diberi kepada ibu, dengan anak yang dilahirkan, kemudian terus diletakkan ke dada si ibu. Lebih cepat adanya sentuhan ibu dan anak, lebih baik ikatan yang terbentuk selepas anak damit lahir.
“Bagaimanapun, tiada istilah terlewat untuk seorang ibu atau bapa membina hubungan yang lebih baik jika anak-anak sudah besar. Luangkan masa bersama mereka, lakukan aktiviti yang berfaedah, saling menemani ketika keluar atau apa saja inisiatif yang boleh mendekatkan ibu bapa dengan anak-anak,” katanya.
Tambah beliau, adalah normal jika anak kecil menunjukkan emosi, ragam, membaling barang, menjerit atau marah untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
“Selalunya akan ada pengasuh, nenek atau pasangan yang mengadu anak berkelakuan baik ketika bersama mereka dan hanya menunjukkan ragam sebaik melihat kelibat kita. Itu adalah sebahagian daripada cara anak untuk mendapatkan perhatian.
“Jadi, setiap kali pulang dari pejabat atau berehat daripada melakukan kerja rumah, luangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit bersama anak-anak sebelum melakukan pekerjaan lain.
“Seandainya anda jarang bersama anak-anak sebelum ini, cuba dekati mereka dan bina semula ikatan yang kuat. Ia mungkin mengambil masa berhari-hari, berminggu atau berbulan. Tetapi, kasih sayang dan hubungan erat yang terjalin selepas itu pasti akan menggembirakan hidup anda sekeluarga,” katanya.
Beritahu anak, mereka istimewa
Berkongsi cara mengenal emosi kanak-kanak, Dr Nurzarina berkata, setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai sikap dan kecenderungan yang berbeza-beza.
“Bagi anak yang masih kecil, mereka menunjukkan kasih sayang dengan cara bergurau-senda, memanjat belakang ibu atau bapa, memaut lengan, mencium, memeluk dan merenung sambil bermain.
“Kemudian apabila penat, mereka mungkin menangis, meragam, enggan mendengar kata dan sebagainya. Semua ini untuk menarik perhatian ibu dan bapa. Jadi, kita perlu bertindak bijak. Amati perilaku dan kecenderungan anak-anak setiap kali mereka lapar, mengantuk atau inginkan sesuatu.
“Untuk anak yang sudah besar, bersekolah atau semakin meningkat remaja, cuba berkomunikasi dengan mereka secara matang. Letakkan syarat dalam memenuhi setiap permintaan anak-anak supaya mereka lebih bertanggungjawab dan tahu menghargai.
“Sekiranya mereka melakukan kesalahan, beri teguran dan jelaskan sebab dan mengapa mereka perlu dihukum. Paling utama, belajar untuk memberi kepercayaan kepada anak-anak untuk memilih atau membuat keputusan. Bimbing mereka sejak mula dan berikan pujian jika perkara dilakukan dengan betul dan bijaksana,” katanya. – Agensi