‘Kasih seorang anak terhadap bapa’

DARBHANGA, INDIA, 25 MEI – Seorang budak perempuan berusia 15 tahun yang mengayuh basikal sejauh lebih seribu kilometer membawa bapanya yang cedera pulang ke kampung di India selepas lockdown koronavirus menyebabkan mereka papa kedana telah dijemput untuk menyertai pasukan lumba basikal negara.

Jyoti Kumari mengayuh basikal bersama bapanya, Mohan Paswan, duduk membonceng dan memegang barang-barang kepunyaan mereka dari bandar Gurugram, berhampiran New Delhi, ke kampung mereka di timur laut negeri Bihar, lapor media tempatan.

Mereka tiba di rumah pada 16 Mei selepas perjalanan sejauh 1,200 kilometer dalam tujuh hari.

Paswan, seorang penunggang beca bermotor, adalah antara jutaan pekerja migran yang menganggur selepas negara dikenakan perintah berkurung pada Mac untuk mengawal penularan virus.

Tanpa wang untuk membayar sewa atau membeli makanan dan pengangkutan awam terhenti, ramai yang berjalan atau, seperti Kumari dan Paswan, mengayuh basikal pulang ke kampung mereka.

Perjalanan bapa dan anak perempuan yang sukar dengan basikal terpakai yang dibeli dengan baki wang mereka menjadi tajuk berita utama akhbar.

Ia juga menarik perhatian Persekutuan Lumba Basikal India, yang menawarkan Kumari peluang untuk menyertai pasukan negara.

“Dia mengakhiri perjalanan dalam tujuh hari bersama bapanya dan juga beberapa barang kepunyaan mereka. Saya fikir dia mempunyai bakat istimewa, daya ketahanan luar biasa. Kami boleh mencuba keupayaannya,” beritahu pengerusi Onkar Singh kepada AFP.

“Dia berkata dia hanya mahu meneruskan pembelajarannya. Kami beritahunya kami juga boleh menjaga pembelajarannya di akademi kami.”

Badan lumba basikal itu menjangka Kumari berkunjung ke Delhi selepas sekatan perjalanan seluruh negara dibatalkan. – AFP