Kasparov: Manusia ancaman terbesar AI

LISBON, 5 NOV – Legenda catur Rusia Garry Kasparov ditewaskan oleh kehebatan komputer canggih, namun apabila ia membabitkan kecerdasan buatan (AI), beliau percaya manusia yang menimbulkan ancaman sebenar.

Kasparov tetap kagum dengan teknologi sejak perlawanan terkenalnya menentang komputer Deep Blue IBM pada tahun 1990.

Apabila beliau tidak sibuk bersaing dengan 10 pencabar catur serentak di Sidang Kemuncak Web Lisbon minggu ini – dengan menewaskan kesemua mereka dalam 45 minit – beliau bercakap kepada AFP mengenai peranan AI yang semakin meningkat dalam masyarakat.

“Kami hidup dalam dunia di mana mesin memainkan peranan lebih besar. Sama ada awda suka atau tidak ia sedang berlaku,” katanya.

“Tidak adanya bukti menunjukkan mesin menimbulkan ancaman kepada kita. Ancaman sebenar tidak datang daripada robot tetapi dari manusia – kerana manusia masih mempunyai monopoli ke atas kejahatan.”

Ancaman sebenar, menurut pengkritik Kremlin, datang daripada ‘negara totalitarian, diktator dan pengganas yang menggunakan teknologi ini untuk mendatangkan kemudaratan kepada kami.”

Sementara robot pembunuh masih merupakan cereka sains seperti dalam filem Terminator, kumpulan hak asasi manusia telah pun mendesak undang-undang antarabangsa digubal untuk menyekat penggunaan ‘robot pembunuh’, meramalkan AI akan mengubah peperangan pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak Web, pakar teknologi telah membincang penggunaan AI yang lebih positif, daripada perbualan pintar bertujuan merangsang kesihatan mental kepada pengasingan sisa plastik. – AFP

Legenda catur Garry Kasparov bermain permainan catur secara serentak di Sidang Kemuncak Web di Lisbon pada 3 November 2021. – AFP