Kasper Schmeichel selamatkan Denmark

PARIS, 13 OKT – Kasper Schmeichel menampilkan persembahan terbaik menyelamatkan banyak cubaan ketika Denmark menewaskan Switzerland 1-0 dalam kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi untuk menyamai kedudukan Republik Ireland dalam Kumpulan D.

Penjaga gol Leicester City itu menafikan cubaan Granit Xhaka, Admir Mehmedi dan Ricardo Rodriguez sebelum Yussuf Poulsen menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 buat Denmark di Copenhagen.

Denmark memungut 12 mata untuk sama mata dengan pendahulu, Ireland yang seri 0-0 di Georgia, manakala Switzerland empat mata di belakang tetapi kurang satu perlawanan.

Skuad kendalian Mick McCarthy, Ireland gagal mendapat rentak pada awal saingan di Tbilisi dan kecewa dengan sentuhan penyudah untuk memecahkan kebuntuan.

Romania mengambil alih kedudukan kedua Kumpulan F berikutan kemenangan 3-0 berdepan Faroe Islands hasil jaringan babak kedua George Puscas, Ionut Mitrita dan Claudiu Keseru. – AFP

Schmeichel meraikan kemenangan ke atas Switzerland dalam aksi kelayakan Euro di Copenhagen, kelmarin. – AFP