Thursday, December 12, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam rampas dadah bernilai RM3.52 juta

    BUKIT KAYU HITAM, 11 DIS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan dadah jenis Methamphetamine seberat 110 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM3.52 juta di Kampung Tok Kun dekat Pokok Sena, Rabu lepas.

    Pengarahnya, Nor Izah Abdul Latiff berkata berdasarkan maklumat risikan, sepasukan pegawai JKDM Cawangan penguatkuasaan Bukit Kayu  Hitam bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mencurigakan bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena, kira-kira 8:30 pagi.

    “Menyedari kenderaan mereka dikesan, suspek bertindak terjun dari kenderaan yang masih bergerak dan cuba melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran, namun tindakannya gagal apabila dia diberkas.

    “Pemeriksaan yang dijalankan pada kenderaan itu menemui empat guni besar pelbagai warna tersorok di bahagian belakang kenderaan dan beberapa bungkusan berlabel teh cina yang di dalamnya dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Katanya, anggaran berat methamphetamine yang dirampas adalah 110 kg dengan anggaran nilai RM3.52 juta.

    Tambah beliau, suspek yang tidak mempunyai pengenalan diri telah ditahan untuk siasatan lanjut.

    Nor Izah berkata siasatan awal mendapati, dadah tersebut dipercayai untuk dibawa ke pasaran gelap di Lembah Klang dan kenderaan yang dipandu disewa dari sebuah syarikat.

    Beliau berkata pihaknya percaya modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan kereta mewah bagi mengaburi pihak berkuasa. – Bernama

    Nor Izah Abdul Latiff (tengah) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di sini kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda