Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam Sabah tanam kapsul masa catat aspirasi 2037

    BANTUL (Sabah), 10 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menanam kapsul masa di Pos Kawalan Jabatan Diraja Malaysia Bantul yang mengandungi aspirasi Bantul untuk menjadi bandar sempadan menjelang tahun 2037.

    Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok menanam kapsul masa berkenaan semalam di pos kawalan sempadan Sabah dan Kalimantan Utara iaitu kira-kira dua kilometer dari bandar Labang di Kalimantan Utara.

    Program menanam kapsul masa berkenaan merupakan satu catatan sejarah bagi negeri Sabah yang mempunyai pandangan jauh untuk memajukan kawasan perbatasan antara Sabah dan Kalimantan Utara.

    “Apa yang kita rancangkan untuk Bantul ini ialah untuk membangun sebuah pusat perniagaan yang tersohor dalam tempoh 20 tahun akan datang,” kata Janathan kepada Bernama selepas menanam kapsul itu. Bernama juga diberi penghormatan untuk mencatatkan aspirasi Bantul 2037. Turut hadir pada program berkenaan ialah ketiga-tiga Timbalan Pengarah Kastam Sabah, Mohd Sahrin Mohd Dom, Mohd Idris Shahrom dan Madrim Tasam; Penolong Pegawai Daerah Pagalungan Aloysius Anthony, Ketua Kastam Daerah Keningau Nasip Usop dan Pegawai Pem-bangunan Masyarakat Nabawan (CDO) Brahim Andipo.

    Perjalanan ke Bantul melalui perjalanan darat mengambil masa enam jam sebelum menyusuri Sungai Pensiangan melalui celah-celah batu dan jeram dengan menaiki perahu berenjin kuasa kuda 40 selama dua jam.

    Sungai Pensiangan merupakan laluan pengangkutan utama untuk aktiviti perdagangan penduduk sempadan kedua-dua negara, justeru Bantul dan Labang di Indonesia berpotensi besar untuk menjadi bandar sempadan yang maju di masa akan datang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda