MADRID, 18 JULAI – Ejen kastam Sepanyol merampas lukisan Picasso bernilai lebih 450,000 euro daripada seorang penumpang yang tiba di lapangan terbang Ibiza tanpa mengesahkan karya itu, kata pejabat kastam Sepanyol hari ini.
Anggota ejen menemui lukisan tahun 1966, dengan nama ‘Trois personnages’ pada 5 Julai dalam sebuah beg pakaian seorang lelaki yang tiba di sebuah pulau percutian melalui penerbangan dari Zurich, kata pejabat dalam satu kenyataan.
Penumpang berkata karya itu adalah salinan dan dia menghulurkan resit yang ditulis dengan tangan kepada ejen bertugas menunjukkan harga pembelian karya itu berjumlah 1,515 euro.
Tetapi ejen kastam menemui satu lagi resit di dalam beg pakaiannya yang menunjukkan ia berasal dari galeri seni Zurich dengan harga 454,000 euro dengan rujukan bahawa karya itu adalah hasil seni Pablo Picasso yang diberi nama Trois personnages.
Menurut analisa awal yang dijalankan oleh pakar seni, lukisan itu sememangnya karya pelukis Sepanyol dan harga yang dikenakan oleh pihak galeri tersebut selaras dengan harga pasaran, kata kenyataan itu.
Penilaian awal itu akan dipastikan lagi dengan analisis yang lebih menyeluruh menggunakan ‘teknik canggih’, tambahnya.
Penumpang berkenaan berkemungkinan dikenakan tuduhan atas kesalahan menyeludup barangan kerana gagal mengesahkan objek bernilai itu ketika dia memasuki Sepanyol. – AFP