Kastam S’wak rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM700,000

KUCHING, 11 MEI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak mencatatkan rampasan mercun dan bunga api bernilai lebih RM700,000, yang terbesar setakat tahun ini, menerusi Ops Letup pada 1 Mei lepas.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata dalam operasi itu, pihaknya merampas 46.78 tan mercun dan bunga api bernilai RM754,152.12 yang dibawa oleh dua lori kontena yang ditahan di Jalan Batu 7 menghala ke Jalan Haji Baki/Batu Kitang dekat sini, pada kira-kira 5 petang.

“Mercun dan bunga api ini yang dutinya dianggarkan berjumlah RM386,198.88, dipercayai untuk memenuhi permintaan yang tinggi di sekitar bandar raya Kuching semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Katanya tiga individu yang menjadi penghantar barangan tersebut turut ditahan untuk siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata Bahagian Penguatkuasaan Kastam Bintulu berjaya merampas 7.715 tan mercun dan bunga api bernilai RM51,930 yang dibawa oleh sebuah lori kontena di bandar itu, 7 Mei lepas.

“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1) (a) Akta Kastam 1967, iaitu membuat pengikraran yang tidak benar yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun,” katanya. – Bernama