Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Pasukan Kasuka & Ar Rawda dinobatkan sebagai juara Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 selepas menewaskan pasukan MS ABDB Perwira dengan keputusan 5-4 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Rosfadilah bin Haji Yusly.
Kemenangan itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dengan 18 kemenangan berturut-turut, selepas mengumpul sebanyak 54 mata sekali gus menyempurnakan prestasi cemerlang mereka sepanjang musim.
Sementara itu, pasukan MS ABDB Perwira menyandang naib juara dengan meraih 48 mata, diikuti pasukan Almerez FC di tempat ketiga dengan 43 mata.
Manakala Abdul Malik bin Yunus daripada MS ABDB Perwira dinobatkan sebagai Pemain Terbaik BFL 2023.
Pemain import dari Iran, Muhd Reza Ramannia, yang mewakili Kasuka & Ar Rawda, merangkul gelaran Penjaring Terbanyak dengan 34 gol.
Mohammad Hazmi Kamsul dari pasukan GG-ISC Futsal pula dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bawah-21 Tahun, manakala Jurulatih Kasuka & Ar Rawda, Wahyu Triyanto, memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik.
Selain itu, MS ABDB Perwira turut menerima Anugerah Fair Play.