Kasuka bangkit benam DD FT

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Pasukan DD FT terus gagal meraih kemenangan dan kali ini tewas di tangan pasukan Kasuka & Ar Rawda 2-6 pada perlawanan peringkat kumpulan, Liga Futsal Brunei 2021 yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Pasukan yang berpangkalan di Daerah Temburong itu hanya memenangi satu perlawanan dan lima kali kalah sekalipun memulakan perlawanan dengan baik.

Gawang DD FT telah digegarkan pada minit ke-2, hasil rembatan kencang penyerang Kasuka, Mohd Nor Azizam untuk mendahului perlawanan.

DD FT bagaimanapun bangkit menya-makan kedudukan pada minit ke-7 menerusi Muhd Nurhakimin manakala Abdul Najib pula mengejutkan pasukan Kasuka apabila bijak menyempurnakan hantaran lintang untuk merobek gawang lawan pada minit ke-9.

Malangnya, keceriaan pasukan DD FT tidak berpanjangan apabila Noor Raimi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 dan jaringan Mohd Faiz pada minit ke-15 mula melesukan anak buah Haji Mohd Yunus.

Kasuka bijak menukar rencana permainan dan terbukti sangat berbaloi apabila ketua pasukannya, Mohd Nor Azizam menambah jaringan pada minit ke-22 dan Noor Raimi tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol kelima pasukan pada minit ke-27.

Penjaring utama Kasuka, Awangku Muhd Naqib membuktikan sentuhan berbisanya pada minit ke-39 untuk melengkapkan kemenangan besar pasukan Kasuka dengan keputusan 6-2.

Di sebalik kemenangan tersebut, Ketua Jurulatih Kasuka, Rosailani Hamzani Haji Abdul Latif, tetap memberi pujian kepada pasukan lawan yang memberi saingan kepada anak buahnya sehingga mereka bekerja keras menggagalkan serangan dan mempertahankan kubu pertahanan.

“Kemenangan ini sangat penting dan melihat pemain-pemain kami nampak lambat bangkit dan tidak mempamerkan aksi sebenar pada babak pertama tetapi mereka berjaya bangkit di babak kedua untuk menemui sentuhan dengan berkesan dan menembusi gawang lawan,” katanya.

Antara aksi pemain semasa perlawanan antara DD FT dan Kasuka dalam kejohanan Liga Futsal Brunei 2021 kelmarin.