Kasuka FC menang bergaya

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Pasukan Kasuka FC kembali mencatat kemenangan bagi saingan Liga Super DST selepas menewaskan Pasukan IKLS FC 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas kelmarin.

Pasukan IKLS FC terlebih dahulu mendahului perlawanan selepas berjaya menerjah gawang Pasukan Kasuka FC pada minit ke-29 melalui pemain jersi nombor 12, Mohd Fadzil bin Mohd Yanie. Tersentak dengan jaringan tersebut, Pasukan Kasuka FC kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 melalui jaringan pemain jersi nombor 16, Mohd Khairul Anwar bin Abdul Rahim sekali gus menjadikan keputusan terikat 1-1 sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Pada babak kedua perlawanan, percaturan perlawanan yang ditunjukkan oleh Pasukan Kasuka FC melihatkan hasil yang positif apabila ketua pasukannya, Sairol bin Haji Sahari berjaya menyumbat masuk gol pada minit ke-49 perlawanan.

Sementara itu pada minit ke-75 perlawanan berlangsung, Pasukan Kasuka FC mengukuhkan lagi kedudukan mereka dengan menjaringkan satu lagi gol melalui pemain jersi nombor 2, Mohd Mardi Mirza bin Abdullah Bujang menjadikan kedudukan 3-1 berpihak kepada Pasukan Kasuka FC dan kekal hingga tamat perlawanan.

Barisan pemain Kasuka FC ketika menentang Pasukan IKLS FC di Kompleks Sukan Berakas kelmarin.