Kaum Bidayuh kini miliki pusat komuniti sendiri

KUCHING, 20 NOV – Bidayuh Biperoh, kaum masyarakat orang asal yang mempunyai lebih 15,000 penduduk di selatan Sarawak, memperoleh satu lagi kemudahan daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan program mereka apabila pusat komuniti Persatuan Biperoh Kuching (BAK) yang bernilai RM750,000 siap dibina baru-baru ini.

Jurutera Eksekutif Kanan Jabatan Kerja Raya Bahagian Kuching Sahril Matnoor menyerahkan pemilikan bangunan itu kepada Presiden BAK Mangan Ngandok dalam satu majlis yang disaksikan Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil hari ini di Jalan Puncak Borneo dekat sini.

Dr Jerip, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mambong, dalam ucapannya berkata beliau akan terus memohon dana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun depan bagi membina sebuah ‘panggah’ atau rumah adat Bidayuh Biperoh dan rumah panjang tradisional komuniti itu sebagai fasa pembangunan seterusnya di pusat itu. – Bernama