Kaum wanita India tunggak bantahan petani

KUNDLI, INDIA – Landskap di perkampungan desa India dikuasai oleh kaum lelaki, namun ribuan wanita telah menjadi tunggak bantahan petani yang menyekat jalan raya menuju ke New Delhi yang telah menimbulkan cabaran besar kepada kerajaan.

Wanita dari semua pekerjaan dan umur, daripada mereka yang menggembala lembu atau bercucuk tanam di kebun, kepada profesional serta nenek berkerusi roda, telah meredah cuaca musim sejuk dalam usaha untuk mendesak kerajaan menarik balik pembaharuan pasaran.

“Saya berjuang untuk anak-anak dan cucu saya,” kata Parminder Kaur, 40, yang melaung slogan pada rapat pada waktu siang, kemudian pada petang membantu membuat roti capati dan kari untuk memberi makanan kepada puluhan ribu pembantah.

Wanita mengikut tradisi telah menjadi tulang belakang pertanian India secara senyap – mengusahakan ladang tanpa pengaruh ataupun suara. Kajian menunjukkan bagaimana mereka menderita akibat kemiskinan, diskriminasi dan keganasan rumah tangga.

Kira-kira 85 peratus daripada wanita di kawasan luar bandar menjalani aktiviti perladangan, namun hanya 13 peratus memiliki tanah, menurut kumpulan aktivis pembasmian kemiskinan Oxfam.

Petani Parminder Kaur (dua kiri), memotong sayur bersama ahli keluarganya ketika mereka menyediakan makanan untuk para petani yang melakukan protes di sempadan negeri Delhi-Haryana di Kundli. – AFP
Jassi Sangha (tengah, kiri) bercakap dengan petani yang membantah pembaharuan pertanian oleh kerajaan pusat baru-baru ini di sempadan negeri Delhi-Haryana, Kundli. – AFP
Parminder Kaur menyediakan makanan untuk petani yang melakukan protes di Kundli. – AFP

Namun Kaur jelasnya berasa bangga pada cara wanita ‘berjalan seiring’ dengan lelaki untuk mempertahankan kebajikan kawasan luar bandar.

Perdana Menteri Narendra Modi terpaksa mempertahankan tiga undang-undang yang membenarkan petani menjual hasil keluaran mereka di pasaran bebas, selepas berdekad-dekad lamanya membekalkan gandum dan beras mereka menerusi pasaran yang dikendalikan kerajaan dengan harga minimum terjamin.

Modi menegaskan pembaharuan akan menarik pelaburan yang amat diperlukan untuk sektor yang menggaji kira-kira dua pertiga daripada 1.3 bilion penduduk India, namun hanya menyumbang kira-kira 15 peratus kepada ekonominya.

Bagaimanapun, pemimpin peladang berkata perubahan akan membawa kepada pengambilalihan perniagaan pertanian oleh konglomerat India.

Keluarga Kaur mempunyai dua ekar tanah di mana mereka menanam gandum.

“Tanah ini adalah segala-galanya bagi kami, ia bagaikan ibu kami,” menurut wanita itu.

“Mereka mahu merampas ibu kami daripada kami, bagaimana kami boleh membenarkannya berlaku?”

Ranjana Kumari, yang mengetuai Pusat untuk Penyelidikan Sosial, kumpulan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Delhi, berkata sementara wanita tidak mempunyai tanah, mereka bimbang pemotongan dalam pendapatan akan menjejas teruk keluarga mereka.

“Apabila pendapatan keluarga merosot, kesihatan dan kesejahteraan wanita adalah paling terjejas. Pendapatan yang kurang juga bermakna lebih banyak ketegangan dan keganasan di tangan lelaki.

“Itulah sebabnya mereka berasa marah dan lantang bersuara mengenai undang-undang berkenaan.”

Penyertaan aktif kaum wanita dalam bantahan telah dihargai oleh pemimpin.

Rana Bhatti, yang berasal dari keluarga petani di negeri Haryana, berkata bantahan merupakan cara wanita untuk menunjukkan kekuatan mereka.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kami berjuang di barisan depan dan menyahut cabaran menentang kerajaan angkuh ini,” kata Bhatti ketika dia memimpin sekumpulan wanita yang mengibar bendera dan sepanduk. Satu berbunyi: “Tiada petani, tiada makanan, tiada masa depan.”

Kumari berkata wanita mempunyai kesedaran politik yang lebih sekarang berbanding sebelumnya, satu trend yang direbut oleh Parti Bharatiya Janata pimpinan Modi dan dipuji kerana membantunya memenangi dua pilihan raya besar.

“Melihat pada cara wanita menyertai bantahan ini, ia mewujudkan idea atau tanggapan mengenai aspirasi mereka dan keperluan untuk didengar oleh semua. Mereka berkata kami tidak akan menerima penindasan.”

Perjuangan petani juga menarik penyokong wanita dari kawasan bandar.

Berpakaian kasual dengan jean dan selendang, Jassi Sangha, 33, ialah seorang artis dan penerbit filem yang telah menyertai bantahan sejak ia bermula.

Dia membantu menyiarkan surat khabar dua kali seminggu untuk petani dan menganjur pendidikan untuk kanak-kanak dalam kem.

Sangha berkata dia tertarik dengan bantahan sebaik sahaja dia mendengar mengenainya: “Saya meninggalkan kerja saya dan datang, kami perlu berjuang dan melawan, jika tidak habislah kami semua.”

Kem petani telah menyekat lebuh raya utama sejak 26 November, dan kerajaan telah merayu pembantah supaya menghantar wanita, kanak-kanak dan warga emas pulang ke rumah, tatkala India mengalami salah satu musim paling sejuk dalam tiga dekad.

Namun Kaur, yang mempunyai dua anak, berkata dia akan tinggal ‘untuk jangka masa panjang.

“Sekurang-kurangnya kami boleh memberitahu dengan bangga kepada generasi akan datang bahawa kami menyuarakan pendapat kami.” – AFP